Home Pertahanan dan Keselamatan APMM usir 5 kapal dagang berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Tombok Utara

APMM usir 5 kapal dagang berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Tombok Utara

by Air Times News Network

KOTA TINGGI, 29 Nov – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor mengusir keluar 5 buah kapal dagang yang didaftarkan dari pelbagai negara yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tompok Utara, Johor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pengusiran oleh kapal ronda APMM dibuat setelah disahkan oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang kesemua kapal dagang tersebut tidak mempunyai kebenaran bersauh oleh Pengarah JLM.

“Perairan Tompok Utara telah menjadi kawasan tumpuan bagi kapal-kapal dagang untuk bersauh semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan pada awal Mac lalu berikutan kebanyakan negara mengambil langkah sekatan pergerakan keluar masuk di pelabuhan utama,

“Keadaan ini menyebabkn kapal-kapal dagang mengambil kesempatan untuk bersauh di sekitar perairan Malaysia tanpa kebenaran,” katanya menerusi laman media sosial rasmi APMM hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang bulan November 2020, APMM telah mengusir sebanyak 23 buah kapal dagang di perairan Tompok Utara dan berjaya menahan sebanyak 17 buah kapal dagang di perairan Johor Timur sepanjang tahun 2020.

“Diingatkan juga bahawa perairan Permatang Timur (Eastern Bank), Beting Ramunia (Ramunia Shoal) dan Tompok Utara (North Patch) masih berada dalam Zon Maritim Malaysia dan bukannya perairan antarabangsa walaupun jaraknya melebihi 12 batu nautika dari daratan terdekat,

“Justeru itu, sebarang aktiviti di perairan tersebut perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa Malaysia bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply