Home Pertahanan dan Keselamatan Semangat anggota PDRM di sempadan negara kekal pada tahap tertinggi – Ketua Polis Negara

Semangat anggota PDRM di sempadan negara kekal pada tahap tertinggi – Ketua Polis Negara

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini menegaskan semangat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di kawasan sempadan negara kekal pada tahap tertinggi.

Beliau ketika dihubungi oleh Air Times berkata, semangat juang anggota PDRM terutamanya Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (Senoi Praaq) tidak akan luntur walaupun diancam oleh pihak penyeludup.

Menurutnya, Beliau menambah, insiden-insiden tembakan yang berlaku pada mutakhir ini menunjukkan penyeludup tergugat dengan kawalan pihak PDRM terutamanya oleh Batalion ke-3 Pasukan Gerakan Am (Bn 3 Senoi Praaq).

“Adalah jelas bahawa tindakan tegas kawalan sempadan oleh para pegawai dan anggota Senoi Praaq ini telah mengecewakan penyeludup,

“Insiden-insiden tembakan ini berlaku bagi menakutkan polis yang bertugas di sepanjang perbatasan,

“Semangat para anggota yang bertugas kekal pada tahap tertinggi, lebih-lebih lagi selepas seorang rakan mereka telah terkorban kelmarin,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya telah mengerahkan Komando VAT69 untuk memperketatkan lagi kawalan sempadan.

Terdahulu, seorang anggota Bn 3 Senoi Praaq mengalami kecederaan ringan di bahagian perut selepas ditembak dari arah negara jiran.

Kejadian berlaku kira-kira pada pukul 6.15 petang melibatkan seorang anggota pasukan tersebut yang sedang melakukan rondaan di Bukit Kayu Hitam.

Insiden ini merupakan kejadian kedua selepas berlakunya tembak-menembak antara penyeludup dan 2 orang anggota Bn3 Senoi Praaq, semalam.

Kejadian tersebut telah menyebabkan Sarjan Baharuddin Ramli maut manakala rakannya, Sarjan Norihan Tari mengalami kecederaan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply