KUANTAN, 23 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang mengusir sebuah bot nelayan Vietnam dan 2 kapal tangki yang dikesan menceroboh perairan negara di 2 lokasi berbeza, kelmarin.
Bot dan kapal berkenaan dikesan berada dalam perairan negara di 2 lokasi berasingan kira-kira 43 dan 90 batu nautika timur dari Kuantan.
Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, bot nelayan Vietnam dengan nombor pendaftaran KG 858 TS serta 2 kapal tangki yang sedang merapat dalam keadaan mencurigakan itu dikesan oleh pesawat udara Bombardier CL415 Maritim Malaysia ketika melaksanakan rutin pengawasan udara di perairan Pahang.
“Maklumat pencerobohan itu disalurkan kepada Kapal Maritim (KM) Pekan yang sedang melaksanakan Operasi Kuda Laut berhampiran lokasi kejadian,
“Sebaik menyedari kehadiran pesawat udara dan kapal APMM itu, bot berkenaan menukar haluan menuju ke perairan antarabangsa,
“KM Pekan terus membayangi dan mengusir bot nelayan Vietnam itu sehingga keluar dari sempadan perairan Malaysia,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM, hari ini.
Beliau berkata, KM Pekan bergegas ke lokasi seterusnya untuk mengusir 2 kapal tangki yang mencurigakan dikesan berada dalam perairan negara.
“2 kapal tangki berkenaan telah dihubungi melalui radio berfrekuensi tinggi (VHF) Channel 16 tetapi kapal tangki tersebut tidak memberi respon,
“KM Pekan telah menyalakan lampu amaran dan susulan itu, kedua-dua kapal tangki berkenan bergerak perlahan-lahan keluar dari perairan negara sambil diawasi oleh KM Pekan,” katanya.
Tambah Amran, KM Pekan kini berada di kawasan sempadan perairan negara untuk memastikan bot-bot dan kapal-kapal asing terbabit tidak memasuki semula perairan negara.

Bot nelayan Vietnam yang diusir APMM Pahang selepas dikesan menceroboh perairan negara, timur Kuantan kelmarin. – Foto: APMM Pahang
“Keberadaan KM Pekan di kawasan tersebut juga bertujuan untuk memantau dan melakukan pengusiran terhadap bot dan kapal asing yang dikesan menceroboh peraiaran negara,
“Dalam masa 2 minggu sebanyak 9 pengusiran telah dibuat oleh aset APMM Pahang dan dibantu oleh aset APMM Johor di perairan Pahang,
“Sepanjang tahun ini, APMM Pahang telah merekodkan 41 pengusiran, dan dari jumlah itu 39 daripadanya adalah dari bot nelayan Vietnam melibatkan seramai 337 kru termasuk tekong keseluruhannya,” jelasnya.
Amran berkata, pengusiran terhadap nelayan asing dan kapal tangki itu adalah tindakan sementara dalam tempoh pencegahan penularan COVID-19 serta mengekang pewujudan kluster baharu COVID-19 terutamanya di lokap-lokap penahanan suspek yang boleh memberi risiko jangkitan kepada pasukan barisan hadapan dan juga rakyat tempatan.
“APMM Pahang terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara tetap terpelihara,” ujarnya. – airtimes.my
