Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM rampas 390 kotak rokok seludup bernilai lebih RM8 ribu

ESSCOM rampas 390 kotak rokok seludup bernilai lebih RM8 ribu

by Nurulhuda

LAHAD DATU, 11 Nov – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya merampas
sebanyak 390 kotak rokok seludup tanpa cukai dianggarkan bernilai RM 8,330.00 yang disembunyikan di dalam bonet sebuah kenderaan di kampung Puyut, semalam.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Ahmad Fuad Othman dalam kenyataan berkata, kejayaan ini merupakan hasil persefahaman dan kerjasama padu yang ditunjukkan oleh semua agensi keselamatan yang bertugas di OP Cegah Pati (OCP) Daratan yang diselaraskan oleh ESSCOM dalam usaha memutuskan wabak pandemik COVID-19.

Beliau berkata ketika kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, sepasukan anggota yang terdiri daripada anggota Batalion ke-Sembilan Rejimen Renjer Diraja (9 RRD), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota kereta peronda Polis (MPV) yang melakukan rondaan OCP Daratan, terserempak dengan 2 individu mencurigakan berlegar-legar di tepi 2 kenderaan di kawasan berkenaan.

“Apabila anggota menghampiri individu berkenaan, mereka terus melarikan diri menggunakan sebuah bot menuju ke kawasan bakau dan menghilangkan diri dalam kawasan gelap,

“Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap sebuah kenderaan yang terletak tidak jauh daripada kawasan berkenaan, anggota telah menemui 250 kotak rokok seludup jenis premium dan 140 kotak rokok jenis LA yang disembunyikan dalam bonet belakang sebuah kereta Wira warna merah,

“Turut dirampas sebuah kenderaan Wira yang digunakan dalam kejadian berkenaan,

“Dipercayai kesemua rokok-rokok yang diseludup ini adalah untuk pasaran tempatan,” katanya dalam hantaran di media sosial ESSCOM.

Ahmad Fuad berkata kesemua hasil tangkapan telah di bawa ke balai polis Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawa Akta Kastam 1967.

“ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa dalam OCP Laut dan Daratan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan sentiasa memperkemas rondaan di kawasan operasi,

“Selain itu, kawalan keselamatan di sempadan perairan laut dan daratan di daerah ini akan sentiasa dipertingkatkan bagi mengekang kemasukan PATI serta aktiviti jenayah rentas sempadan di negara ini,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau menyeru kepada semua penduduk khususnya komuniti maritim di kawasan pesisir pantai supaya sentiasa memberikan kerjasama dengan menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan.

“Komuniti maritim juga diingatkan supaya jangan bersubahat atau bersekongkol dengan tekong-tekong laut dan penyeludup yang cuba melanggar undang-undang negara dengan menyeludup masuk rokok yang tidak dibayar cukai kastam melalui lalun yang tidak diwartakan,

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada dalam kalangan komuniti yang bersubahat dan melindungi penyeludup termasuk bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut”, katanya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply