KUALA LUMPUR, 30 Okt – Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau, Sabah kini telah menerima seramai 163 orang pesakit untuk rawatan bukan COVID-19 sejak ia mula beroperasi pada 20 Oktober lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, daripada 163 pesakit itu, 143 adalah pesakit wanita dan 20 lagi adalah lelaki.
“ATM telah memulakan Operasi Hospital Medan ATM di Tawau, Sabah bagi memberi bantuan sokongan kepada KKM dalam merawat pesakit bukan COVID-19 di kawasan tersebut,
“Antara rawatan yang diberikan adalah berkaitan dengan Obstetrik dan Ginekologi, Onkologi dan Pediatrik,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri menjelaskan anggota pasukan keselamatan yang bertugas dalam menguatkuasakan PKPP mencukupi dan mampu untuk melakasanakan tugas harian bagi memutuskan wabak pandemik COVID-19 di negara ini.
Beliau berkata, sekiranya terdapat kekurangan anggota di sesuatu kawasan, pasukan akan mengantikan dan mengisi kekurangan anggota tersebut dari kawasan atau cawangan yang lain.
“Kita ada menerima kes anggota dijangkiti dan dikuarantin. Tetapi kita tetap bersedia jika ada kes yang melibatkan anggota di satu tempat dan sekiranya kekurangan anggota di kawasan tersebut, kita akan bawa anggota tambahan dari kawasan atau cawangan lain untuk mengantikannya,
“Kita masih mampu untuk mengaturgerak anggota dari kawasan lain bagi membantu kawasan yang mana anggota mereka dijangkiti COVID-19,
“Anggota keselamtan kita masih mencukupi. Rakyat tidak perlu bimbang,
“Walaupun terdapat jangkitan dalam kalangan anggota keselamatan, kita masih bersedia dan mampu untuk menambah atau mengantikan anggota yang terlibat tadi,” tambahnya. -airtimes.my