Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: NTF pertingkat keselamatan sempadan Sarawak, cegah kemasukan PATI

Op Benteng: NTF pertingkat keselamatan sempadan Sarawak, cegah kemasukan PATI

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Okt – National Task Force (NTF) yang diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan sentiasa meningkatkan kesiagaan kawalan terutama di sempadan maritim dan darat bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di dalam negara serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sarawak.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, kawalan ini juga akan memberi tumpuan kepada lorong tikus yang menjadi laluan keluar dan masuk PATI dari Sarawak.

Markas ATM dalam kenyataan berkata, bermula 1 Mei sehingga 18 Oktober lalu, seramai 497 PATI dan 28 tekong darat telah berjaya ditahan hasil koordinasi bersepadu NTF bersama agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain.

“Daripada 497 PATI yang ditahan, 459 adalah dari Indonesia dan selebihnya dari negara-negara seperti Filipina, Bangladesh, Thailand, India, Vietnam serta Myanmar,

“NTF juga telah berjaya melaksanakan sebanyak 56 misi pengusiran hasil dari operasi bersepadu itu,

“Op Benteng di bawah NTF sentiasa meningkatkan kesiagaan kawalan sempadan di Sarawak baik persempadanan maritim mahupun daratan,

“Aspek kesiagaan ini diberi perhatian terutama melihat kepada situasi peningkatan pandemik COVID-19 di Sabah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, penugasan NTF di Sarawak merangkumi aturgerak Komponen Maritim meliputi 8 sektor rondaan maritim melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) – Pasukan Polis Marin (PPM).

Bagi daratan timur Sarawak pula, ia melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia ) Jabatan Sukarelawan Malaysia (KKM).

“Melalui kawalan persempadanan daratan Sarawak-Kalimantan, Op Benteng diperkasakan dengan operasi sedia ada iaitu Op Awas/Keris Parang, Op Kerangka, Op Suluh Kenyalang dan Op Jagakawan yang dioperasikan oleh TDM,

“Manakala Op Awas/Batas dan Op Benteng PDRM dioperasikan oleh PGA. Kesemuanya melibatkan kawalan persempadanan di sektor Biawak, Kandaie, Serikin, Tebedu, Balai Ringan dan Lubok Antu,” tambahnya.

Masyarakat terutama di Sarawak digesa untuk bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan kepada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, seramai 768 kes telah dikesan positif COVID-19 dan 3 kluster yang masih aktif di Sarawak sehingga semalam. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply