Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Kelantan rampas minyak diesel, 2 bot bernilai RM2.39 juta

APMM Kelantan rampas minyak diesel, 2 bot bernilai RM2.39 juta

by Nurulhuda

PASIR PUTIH, 9 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan merampas 2 buah bot dengan muatan 230,000 liter minyak diesel yang dianggarkan berjumlah RM2.39 juta di sekitar 110 batu nautika daripada muara Tok Bali, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya juga menahan 15 kru warga Thailand, dan seorang warga Indonesia termasuk 2 tekong yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 59 tahun.

“Kedua-dua tekong juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kapal, dokumen insuran dan juga dokumen pengenalan diri apabila diminta,” jelas Asmawie dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, bot pertama ditahan pada jam 11.20 pagi pada jarak 102 batu nautika, manakala bot kedua ditahan pada jam 11.45 pagi pada jarak 109 batu nautika daripada Muara Tok Bali,

“Kedua-dua bot ini bertindak cuba melarikan diri ke perairan Vietnam apabila terlihat kapal kita, namun berjaya dipintas dan ditahan oleh KM Tok Bali,

“Bot pertama membawa lebih kurang 80 ribu liter diesel, manakala bot ke-2 membawa lebih kurang 150 ribu liter diesel. Jumlah hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM2.39 juta,” tambahnya.

Asmawie menjelaskan, kedua-dua bot beserta 15 kru yang ditahan dibawa masuk ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk disiasat di bawah Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Jika sabit kesalahan, setiap kru boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 ribu dan tidak melebihi RM500 ribu atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Asmawie berkata, kedua-dua bot berkenaan disyaki bertindak sebagai pembekal minyak diesel kepada bot nelayan Vietnam yang beroperasi di Laut Cina Selatan dan APMM Kelantan komited memastikan keadaan perairan negeri berkenaan terpelihara daripada sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply