Home Pertahanan dan Keselamatan Komitmen kerajaan penting untuk tingkat upaya Tentera Darat Malaysia

Komitmen kerajaan penting untuk tingkat upaya Tentera Darat Malaysia

by M.Daim

PORT DICKSON, 25 Sept – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain hari ini menegaskan komitmen dari pihak kerajaan amat diperlukan bagi memastikan keberkesanan Tentera Darat Malaysia untuk beroperasi di 2 wilayah utama berjaya dicapai.

“Sokongan dan komitmen kerajaan amat diperlukan bagi memastikan perolehan aset TDM dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan RMK-13 dapat dipenuhi mengikut jadual,

“Ini penting bagi memastikan TDM berkeupayaan untuk beroperasi di 2 wilayah serentak,” katanya semasa menyampaikan ucapan di hadapan 936 anggota dan pegawai TDM di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, hari ini.

Beliau menambah, pelbagai matlamat dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Darat telah berjaya dicapai sepanjang 100 hari pemerintahan beliau.

Ini termasuklah peningkatan keupayaan TDM untuk beroperasi secara serentak di Medan Barat dan Medan Timur.

Menurut Zamrose, fokus tambahan telah diberikan bagi mempertingkatkan keupayaan organisasi dan aset di bawah Pemerintahan Medan Timur TDM.

“Formasi Markas Divisyen 5 telah ditubuhkan dengan jawatan hakiki diisi secara beransur-ansur. Selain itu, ianya diperkukuhkan lagi dengan penambahan aset-aset baharu,” katanya.

Beliau menambah, tingkat upaya TDM telah diperkukuhkan dengan perolehan aset baharu seperti 18 laras meriam 105mm LG1 MK III dan 40 kereta peronda Kor Polis Tentera Diraja.

“Selain itu, terdapat peningkatan dari segi senggaraan aset sedia ada,” ujarnya.

Zamrose menambah, seramai 1,521 anggota Askar Wataniah (AW) telah diaturgerak untuk menjayakan operasi bersama anggota tetap dari Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menurut beliau, penglibatan AW bersama anggota tetap TDM merupakan antara pencapaian yang dapat dilihat pada Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.

“Kita meneruskan penglibatan pasukan simpanan dalam latihan dan atur gerak TD dengan lebih baik.,

“Integrasi AW diteruskan melalui penglibatan mereka dalam operasi penting bersama anggota tetap seperti Ops Penawar,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan TDM telah berjaya melakukan penstrukturan semula organisasi TDM yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan operasi pasukan.

Selain itu, tahap kemahiran anggota turut ditambah baik dalam aspek pengurusan, kewangan dan logistik. Penambahbaikan ini telah dilakukan melalui kursus, program dan serta aktiviti-aktivit yang dilaksanakan di pelbagai peringkat.

“Perkara ini perlu diteruskan bagi memastikan warga TDM dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan,” ujarnya.

Antara perkara lain yang berjaya dicapai adalah penambahbaikan aspek kebajikan, kediaman dan kesihatan anggota TDM.

Selain itu, TDM telah berjaya mempertingkatkan kerjasama dengan negara-negara serantau dalam mempertingkatkan hubungan pertahanan secara dua hala dan pelbagai hala.

Pada masa yang sama, TDM turut berjaya mempertingkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain terutamanya semasa Ops Benteng dan Ops Penawar.

Terdahulu, Zamrose menyempurnakan upacara Perbarisan 100 Hari Pemerintahan Panglima Tentera Darat ke-28 di PUSASDA. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply