Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

APMM tahan kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 18 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tanjung Sedili, menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 11 batu nautika timur laut Tanjung Penawar di Perairan Johor Timur, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki yang berdaftar di Panama itu ditahan pada jam 11.20 pagi oleh kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan pemeriksaan rutin Operasi Benteng Laut 1/2020.

“Kapal ini ditahan atas kesalahan berlabuh tunggu tanpa pemakluman/kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati kapal telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 361(6) OPS 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen insurans.

“Kapal yang berdaftar di Panama itu dikendalikan oleh 15 kru termasuk nakhoda. 9 daripadanya adalah warga China manakala 6 lagi warga Indonesia yang kesemuanya lelaki berumur lingkungan 22 hingga 62 tahun,

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(L) OPS 1952. Manakala bagi Seksyen 361(6) OPS 1952 boleh didenda tidak kurang RM20 ribu dan tidak lebih RM100 ribu.,”tambahnya.

Zulfadli menjelaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan sewajarnya dan sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan demi memastikan perairan negara khususnya Perairan Johor Timur bebas daripada sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply