Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: 65 PATI, 3 penyeludup dan tekong ditahan semalam – Ismail Sabri

Op Benteng: 65 PATI, 3 penyeludup dan tekong ditahan semalam – Ismail Sabri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Seramai 65 pendatang asing tanpa izin (PATI), 3 penyeludup dan 3 tekong ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata turut dirampas 10 kenderaan darat.

“Daripada jumlah itu, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya menahan 27 PATI di Kompleks Rakan Muda, Bandar Pendawar, Johor atas kesalahan cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,

“Manakala di Rantau Panjang, Kelantan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat dengan aktiviti penyeludupan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semalam juga sebanyak 81 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan melibatkan PDRM sebanyak (65 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10 SJR) dan ATM (12 SJR).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, PDRM turut menahan 584 individu kerana melakukan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 568 individu telah dikompaun menakala 16 lagi direman,

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pub/kelab malam sebanyak 292, penjarakan fizikal (224), ingkar perintah PKPD (18), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (17), tidak memakai pelitup muka (14), ceroboh kawasan larangan (13) dan premis beroperasi lebih masa (6),” tegasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply