Home Pertahanan dan Keselamatan Ops Benteng akan diteruskan selagi PATI masih wujud – Panglima Angkatan Tentera

Ops Benteng akan diteruskan selagi PATI masih wujud – Panglima Angkatan Tentera

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menegaskan Operasi Benteng adalah penting dan akan diteruskan demi kesejahteraan ekonomi dan rakyat.

“Isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) perlu dibanteras kerana ianya memberikan kesan negatif dari segi aspek ekonomi,

“Kehadiran mereka adalah punca mengapa rakyat tempatan hilang peluang pekerjaan dan menyebabkan peningkatan aliran keluar mata wang negara,

“Ops Benteng akan tetap diteruskan selagi isu COVID-19 dan PATI tidak selesai,” katanya semasa sesi wawancara khas bersama media bersempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-87 di Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau menegaskan, operasi ini juga memainkan peranan dalam menghalang penularan wabak COVID-19 dari kalangan PATI.

Selain itu, ianya merupakan langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi menjaga sempadan maritim dan darat secara berkesan.

“Ini merupakan antara langkah-langkah penting untuk menjaga sempadan maritim dan darat negara kita secara efektif,” jelas Affendi.

Beliau menambah, masyarakat perlu mengambil iktibar daripada kewujudan kluster Lahad Datu baru-baru ini.

Ops Benteng bermatlamat untuk membendung penularan wabak COVID-19 dari penyusupan masuk PATI. Foto: Air Times

“Sekiranya Ops Benteng tidak dilaksanakan, berkemungkinan besar kita akan menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kali kedua,” katanya.

Pada 1 September lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kewujudan kluster Benteng Lahad Datu yang berpunca daripada 2 orang PATI warganegara Filipina.

Sehingga 10 September, kluster ini telah melanda daerah Tawau dan Lahad Datu dan mencatatkan sebanyak 170 kes.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara Pentadbiran (PKPDP) di kawasan penjara dan kuarters di Penjara Tawau.

SOP Kendali PATI

 Pada masa yang sama, Affendi menjelaskan para petugas barisan hadapan Ops Benteng turut diberikan prosedur standard operasi (SOP) dalam mengendalikan PATI yang ditahan.

“Kita telah menyediakan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan COVID-19 di kalangan para petugas yang mengendalikan PATI,

“Ianya merupakan perkara pertama yang kita ambil kira semasa melaksanakan Ops Benteng,” kata Panglima Angkatan Tentera.

Beliau menambah, setiap PATI yang memasuki negara ini perlu dilihat sebagai telah dijangkiti COVID-19. Ini terutamanya dengan melihat senario wabak tersebut di negara-negara serantau.

Angkatan Tentera Malaysia telah menggerakkan kesemua elemen perkhidmatannya dalam Ops Benteng yang dijalankan di seluruh negara. Foto: Air Times

Kejayaan Ops Benteng

 Menurut Affendi, Ops Benteng turut mencatatkan kejayaan dalam mengurangkan kegiatan penyeludupan di seluruh negara.

“Operasi ini bukan sahaja berjaya menyekat kemasukan PATI tetapi turut mengurangkan kegiatan penyeludupan barangan di kawasan sempadan,

“Kita dapat melihat pengurangan aktiviti penyeludupan secara drastik,” ujarnya.

Menurut beliau, Ops Benteng di sektor utara Semenanjung Malaysia berjaya menahan penyeludup dan merampas daun ketum yang dibawa masuk dalam jumlah yang besar.

Selain itu, operasi penyeludupan barang-barang harian bersubsidi di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan turut berjaya dihalang.

Ops Benteng dilaksanakan oleh National Task Force (NTF) semenjak akhir April lalu. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply