Home Semasa Saya tak tahu ada 2 projek rundingan terus di KPKT – Zuraida

Saya tak tahu ada 2 projek rundingan terus di KPKT – Zuraida

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menegaskan dua projek rundingan terus (RT) sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dibuat tanpa pengetahuannya.

“Saya maklum mengenai kenyataan Kementerian Kewangan membabitkan projek rundingan terus sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan, yang turut mengaitkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menawarkan projek rundingan terus,

“Ingin saya tegaskan 2 projek yang diluluskan kepada KPKT, sewaktu saya menjawat tugas sebagai menteri semasa pentadbiran terdahulu dibuat diluar pengetahuan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Ampang itu, beliau memberi jaminan bahawa KPKT akan menjalankan siasatan membabitkan pendedahan yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Semalam, Tengku Zafrul telah mendedahkan 20 kementerian yang memohon perolehan kerajaan secara rundingan terus (RT) melibatkan 101 projek bernilai RM6.61 bilion di zaman pemerintahan PH.

Dalam senarai tersebut KPKT telah melaksanakan RT sebanyak 2 projek yang bernilai RM170.79 juta.
Projek tersebut adalah kontrak perkhidmatan penyelenggaraan system kewangan dan perakaunan saga oleh syarikat Century Software (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM501, 206.37.

Manakala projek kedua iaitu cadangan projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kepong, Kuala Lumpur bagi menggantikan stesen pemindahan sisa pepejal sedia ada oleh syarikat Bumi Segar Indah SDN BHD yang bernilai RM170,294,400.00 – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply