Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 25 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

APMM tahan 25 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 16 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sabah telah menahan sebuah bot nelayan bersama 25 nelayan warga negara Vietnam dan merampas 4 tan ikan pelbagai jenis di kedudukan lebih kurang 29 batu nautika barat laut Pulau Mantanani, pada Jumaat.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, bot nelayan tersebut di tahan pada jam 4.45 petang ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda gading di perairan Sabah.

“Bot peronda maritim telah menahan sebuah bot nelayan asing disyaki Vietnam dengan nombor pendaftaran 4430. Hasil pemeriksaan mendapati 25 orang awak-awak termasuk tekong di atas bot terbabit,

“Kesemua mereka yang dalam lingkungan umur 18 hingga 50 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri warganegara Vietnam,

“Selain itu, bot tersebut juga tidak mempunyai sebarang dokumen atau apa -apa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia,

Mohd Rosli berkata, bot dan awak-awak yang telah ditahan, telah dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan COVID-19 juga dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas anggota bot peronda maritim dan semua kru bot nelayan Vietnam,

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohd Rosli memaklumkan, sebanyak lima kes pencerobohan bot nelayan asing direkodkan oleh Maritim Malaysia sejak Januari sehingga Julai lalu.

“Usaha Maritim Malaysia mengekang pencerobohan bot nelayan asing ini juga adalah bertujuan menjaga kemewahan hasil laut negara khususnya di perairan Sabah daripada di kaut oleh nelayan asing,” tambahnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply