Home Semasa Rayhan hanya suarakan rasa tidak puas hati, kenapa diusir? – Zaid Malek

Rayhan hanya suarakan rasa tidak puas hati, kenapa diusir? – Zaid Malek

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Lawyers for Liberty berkata langkah drastik pihak berkuasa untuk menghantar pulang dan menyenarai hitam warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir dari memasuki Malaysia tidak berasas kerana beliau tidak melanggar undang-undang.

Menurut Penyelaras Lawyers for Liberty, Zaid Malek berkata keputusan ini tidak beralasan kerana setakat ini mereka (pihak berkuasa) gagal menjelaskan apakah kesalahan yang telah dilakukan Md Rayhan.

“Tindakan pihak berkuasa adalah satu bentuk tindakan balas terhadap tuduhan diskriminasi yang dibuat oleh Md Rayhan dalam dokumentari Al Jazeera,

“Kami (Lawyers for Liberty) telah meneliti kenyataan yang dibuat oleh Rayhan dalam dokumentari tersebut dan tidak melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Zaid, Md Rayhan hanya sekadar menyuarakan rasa tidak puas hatinya, terhadap komuniti migran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Suara yang sama dilantunkan oleh aktivis dan NGO tempatan. Tiada sebab kukuh untuk kerajaan membuat tindakan terhadap Rayhan kerana kenyataannya,

“Kami menegaskan, pembatalan permit kerja Md Rayhan adalah melanggar Seksyen 9 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. Oleh itu, pengusiran beliau kerana tidak mempunyai sebarang dokumen adalah tidak sah,” ujarnya.

Selain itu, tindakan serta hukuman terhadap Md Rayhan sebenarnya memberikan mesej jelas kepada migran untuk tidak bersuara atau melaporkan kesalahan oleh penguatkuasa terhadap mereka.

“Kita mesti menghalang sebarang tindakan oleh pihak berkuasa yang melanggar undang-undang,

“Kami mendesak agar kerajaan dan pihak berkuasa untuk menghentikan sebarang tindakan terhadap Rayhan,” tegas Zaid.

Terdahulu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan Md Rayhan pada Jumaat lepas (24 Julai 2020) di Setapak, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud menyatakan Md Rayhan akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Md Rayhan merupakan antara individu yang telah diwawancara oleh stesen Al Jazeera dalam dokumentari 101 East: Locked Up in Malaysia’s Lockdown. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply