Home Semasa Pelitup muka wajib dipakai mulai 1 Ogos – Ismail Sabri

Pelitup muka wajib dipakai mulai 1 Ogos – Ismail Sabri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kerajaan membuat keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan tempat awam yang bersesak mulai 1 Ogos ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata orang ramai dibenarkan untuk memakai pelitup muka yang dibuat sendiri mengikut spesifikasi yang telah dibenarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Spesifikasi ini akan diedarkan secara umum oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya kita boleh menjahit sendiri pelitup muka untuk digunakan,

“Sebenarnya selama ini kita (kerajaan) tidak mewajibkan kerana kita tahu untuk mereka yang berpendapatan rendah adalah amat membebankan jika dipaksa dan diwajibkan penggunaan pelitup muka kerana ia digunakan secara pakai buang,

“Yang terbaik 3 jam, sekurang-kurang satu hari 1 pelitup muka, jadi kalau keluarga yang besar mesti tanggungan besar terutama mereka yang berpendapatan rendah dan miskin,” katanya semasa sidang media di Parlimen hari ini.

Namun, sekarang WHO telah pun mengeluarkan peraturan iaitu boleh menggunakan pelitup muka biasa tetapi mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Menurut Ismail Sabri, mulai 1 Ogos ini jika orang ramai gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan tempat awam mereka boleh dikenakan tindakan dibawah Akta 342.

Jelasnya, trend jangkitan COVID-19 menunjukkan peningkatan walaupun sedikit demi sedikit, walaupun sudah 3 hari kes baharu mencatatkan dua angka dan ini berlaku kerana kurangnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“KKM melaporkan kadar pematuhan SOP di kalangan orang ramai semakin menurun termasuk di dalam pengangkutan awam seperti LRT dan KTM,

“Pengamalan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka (face mask) di dalam pengangkutan awam oleh orang ramai juga tidak dipatuhi,

“SOP di tempat-tempat awam yang bersesak terutamanya yang tertutup juga didapati tidak diendahkan oleh segelinitir pihak,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply