Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Bintulu tahan dua bot klon Vietnam bernilai RM1.2 juta

APMM Bintulu tahan dua bot klon Vietnam bernilai RM1.2 juta

by Nurulhuda

Bintulu, 23 Julai – Taktik 9 nelayan Vietnam untuk mengelirukan pihak berkuasa dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu gagal, apabila dua bot nelayan Vietnam dengan nilai RM 1.2 juta itu berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Bintulu, pada Rabu.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil dalam kenyataan berkata, bot terbabit ditahan pada jarak lebih kurang 45 batu nautika dari barat laut Tanjung Kidurong, Bintulu ketika pihak Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di sekitar perairan tersebut.

“Pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati lima termasuk tekong berada di atas bot berkenaan manakala bot kedua pula seramai empat orang termasuk tekong sedang leka mencuri hasil laut negara,” katanya.

Effendy berkata kesemua yang ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Stapa itu merupakan lelaki warga Vietnam, berusia dalam lingkungan 29 hingga 46 tahun serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Peralatan yang digunakan untuk menangkap gamat tidak dilesenkan dan barangan rampasan, termasuk bot, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan disita oleh Maritim Malaysia dianggarkan bernilai RM1.2 juta,

“Kesemua yang ditahan telah diiringi masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel,Sungai Kemena, Bintulu, bagi menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga,” tambahnya.

Beliau berkata kes akan disiasat dibawah Seksyen 16(3) iaitu gagal melaporkan kepada pihak berkuasa untuk memasuki Perairan Perikanan Malaysia dan Seksyen 14(3)(b) iaitu vesel menggunakan huruf, nombor, atau lain-lain cara pengenalan suatu vesel penangkapan ikan yang lain Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254). -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply