Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: 1,944 PATI, 560 tekong ditahan sejak 1 Mei lalu

Op Benteng: 1,944 PATI, 560 tekong ditahan sejak 1 Mei lalu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Seramai 1,944 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 560 tekong telah ditahan kerana cuba mencerobohi sempadan negara secara haram terutama di lorong tikus, sejak 1 Mei lalu hingga semalam (21 Julai 2020).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, turut ditahan 121 individu yang disyaki penyeludup, 73 bot serta 201 kenderaan yang digunakan ketika aktiviti penyeludupan.

“Dalam Operasi Benteng yang telah dilaksanakan semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 68 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dan memeriksa 31,985 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus,

“PDRM juga telah menahan 3 warganegara asing dalam SJR yang membabitkan kesalahan Imigresen,

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,

“Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti kemasukan atau pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke hotline National Task Force di talian 011-6251 1223,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PDRM juga telah menahan dan mengeluarkan kompaun kepada 75 individu diatas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Daripada jumlah itu, seramai 3 individu telah direman manakala 72 individu lagi dikenakan kompaun,

“Kesemua mereka terlibat dalam aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP),” tambahnya.

Beliau berkata, pada hari ke-40 pelaksanaan PKPP semalam, PDRM melalui Pasukan Bertindak Operasi Pematuhan yang membabitkan 10,948 anggota pasukan telah membuat pemantauan 61,246 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply