Home Pertahanan dan Keselamatan 78 individu ingkar PKP, 14 warga asing ditahan

78 individu ingkar PKP, 14 warga asing ditahan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Jul – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 78 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Daripada jumlah tersebut, seorang direman, 35 telah dijamin dan 42 individu lagi dikenakan kompaun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, individu tersebut ditahan kerana melakukan kesalahan ingkar  Prosedur Operasi Standard (SOP)PKPP, termasuk aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

Beliau berkata, 14 warganegara asing turut ditahan atas kesalahan Imigresen menerusi 67 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng di seluruh negara semalam.

“PDRM telah membuat pemeriksaan 40,495 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus,

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut berkata seramai 933 individu telah diperintahkan untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka (home quarantine), manakala 1 individu telah dibawa ke hospital.

“Semalam, PDRM telah membuat 1,433 pemantauan pematuhan SOP home quarantine dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,

“Pada 18 Julai 2020 (semalam), seramai 934 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari Jepun, Indonesia, Qatar, UAE, Singapura, Australia, Turki, Korea Selatan, India, Bangladesh dan Iran,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply