Home Pertahanan dan Keselamatan AS komited jalin kerjasama pertahanan dengan Malaysia

AS komited jalin kerjasama pertahanan dengan Malaysia

by Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Amerika Syarikat (AS) menghargai perkongsian dalam sektor keselamatan dan pertahanan yang terjalin dengan Malaysia selama ini, kata Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan AS untuk Asia Selatan dan Tenggara, Reed B Werner.

Beliau berkata hubungan itu sudah lama terjalin dan AS berharap ia akan dapat diperkukuhkan lagi terutama dalam bidang keselamatan maritim.

“Kami berharap dapat meneruskan beberapa siri latihan dan kerjasama selepas sekatan perjalanan COVID-19 ditarik balik,” katanya kepada Bernama menerusi wawancara telefon dari Washington pada Khamis.

Werner berkata komitmen Washington dalam bidang pertahanan dengan Malaysia diterjemahkan dalam bentuk kerjasama dan penglibatan pelbagai sektor pertahanan, khususnya bagi meningkatkan kesedaran mengenai domain maritim.

Katanya, ia sangat penting, memandangkan isu Laut China Selatan sekarang, sambil menegaskan AS tetap menumpukan perkara itu dengan Angkatan Tentera Malaysia.

“Pada asasnya, kesedaran domain maritim penting bagi Malaysia. Sejak 2017, untuk itu kami telah memberikan bantuan geran hampir US$ 200 juta kepada Tentera Malaysia termasuk pesawat udara tanpa pemandu (UAV) ScanEagle, peningkatan pengawasan maritim dan radar pertahanan udara jarak jauh,

“Kumpulan pertama ScanEagles kami, UAV,  tiba di Malaysia pada Mei. Ia satu yang membanggakan dan kami mempunyai kerjasama baik dengan tentera anda (Malaysia),” kata Werner.

Beliau menambah Washington dan Kuala Lumpur juga bekerjasama dalam urusan keselamatan lain, termasuk lebih 100 aktiviti kerjasama keselamatan termasuk kursus, perdagangan pertahanan dan latihan ketenteraan.

Kami juga mengadakan dialog pertahanan dua hala, penting kepada pembuat dasar dan diplomat di kedua-dua pihak untuk berbincang mengenai pelbagai jenis kerjasama pertahanan pada masa depan,” kata Werner.

Sehingga kini, katanya, tentera AS dan Malaysia sudah mengadakan 14 latihan ketenteraan dua hala atau pelbagai hala setiap tahun.

Antaranya ialah Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT), Cope Taufan, Keris Strike, Tiger Strike dan Air Warrior.

“Semua itu saling memberi manfaat. Kami mendapat banyak kelebihan dan saya percaya begitu juga di pihak tentera Malaysia,” katanya.

Mengenai kerjasama latihan, menurutnya AS telah lama terlibat dalam melatih pegawai dan anggota tentera Malaysia, menyaksikan 50 kursus diadakan untuk melatih seramai 300 pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan Malaysia pada 2019.

Tiga pegawai kanan Malaysia juga telah mengikuti latihan di institusi ketenteraan AS dan pada masa ini terdapat sembilan rakyat Malaysia menghadiri akademi perkhidmatan di AS, sementara lebih 30 sudahpun lulus. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply