Home Semasa Sekolah dibuka semula mulai 15 Julai ini

Sekolah dibuka semula mulai 15 Julai ini

by Farrah Najihah Hisyam

PUTRAJAYA, 1 Julai – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memaklumkan bahawa tarikh pembukaan sekolah ditetapkan pada 15 dan 22 Julai ini bagi peringkat menengah dan rendah.

Menteri Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Jidin dalam sidang media berkata pembukaan penuh sekolah itu ditetapkan atas persetujuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Oleh itu, KPM telah menetapkan tarikh pembukaan sekolah pada 15 Julai bagi tingkatan 6 semester 1, tingkatan 1 hingga 5 serta tahun 5 dan 6,

“Manakala tahun 1 hingga 4 bakal kembali ke sekolah pada 22 Julai ini,” jelasnya.

Dalam masa sama, Mohd Radzi turut memperkenalkan tiga model operasi pembukaan sekolah yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah mengikut kesesuaian sekolah masing-masing.

“Model pertama iaitu model satu sesi ialah untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi,

“Model dua sesi ialah untuk sekolah yang beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi keran tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid,

“Manakala model ketiga iaitu model penggiliran adalah untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi untuk menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan dua sesi oleh kerana terletak dalam kawasan berkepadatan tinggi,” jelasnya.

Bagi model penggiliran, KPM menegaskan murid tingkatan 5 dan 6 perlu hadir ke sekolah setiap hari manakala murid tingkatan 1 hingga 4 dibuat secara bergilir-gilir.

Sementara itu, KPM meminta ibu bapa, guru serta murid untuk memberi kerjasama bagi memastikan pembukaan semua sekolah dapat berjalan dengan lancar dan selamat.

Related Articles

Leave a Reply