Home Pertahanan dan Keselamatan ATM pergiat usaha kesan pegawai, anggota terlibat sindiket penyeludupan PATI

ATM pergiat usaha kesan pegawai, anggota terlibat sindiket penyeludupan PATI

by Nurulhuda

LUNDU, 21 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus berusaha mengesan pegawai dan anggotanya yang disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, berkata ATM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

Beliau berkata, pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menjalankan siasatan yang terperinci, dimana pihak polis mempunyai kuasa mengikut undang-undang awam.

“Kini, kita (ATM) mencari siapa yang terlibat dan berapa jumlah mereka yang terlibat sama,

“Buat masa ini, mana yang sudah kena tangkap (ditahan polis) dan mana-mana yang mungkin masih terbabit, kami akan cari serta tentukan mereka dapat dikesan,

“Saya tidak akan memberitahu apa tindakan yang dikenakan terhadap mereka, tetapi saya jamin ia akan dikenakan pembalasan yang setimpal,

“Mereka ini melakukan kegiatan yang mengancam kedaulatan negara dan hukuman sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pos Gabungan ATM dan Tentera Nasional Indonesia di Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan Biawak, Lundu, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain; Pemangku Panglima Medan Timur Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha dan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, Datuk Ken Leben.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan sebanyak 49 lokasi laluan tikus baharu dikesan di seluruh Sarawak sepanjang Operasi Benteng dilaksanakan.

Affendi turut menyatakan 10 lagi pos kawalan sempadan akan dibina di Sarawak bagi meningkatkan lagi kemampuan untuk mengekang pencerobohan di kawasan sempadan.

“Dengan inisiatif untuk menambah pos-pos baru ini, dapat kita (ATM) menambah baik pengoperasian untuk mengesan PATI ini,

“Pos-pos ini akan dibina secapat mungkin,” ujarnya lagi.

Kawalan operasi ini adalah merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Operasi Benteng yang diletakkan di bawah koordinasi ATM melalui penubuhan National Task Force (NTF),

“Ia bertujuan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain bagi menangani aktiviti jenayah rentas sempadan terutama menyekat pencerobohan PATI serta selain mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 yang berkemungkinan tinggi dibawa oleh mereka.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply