Kuala Lumpur, 11 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa tiada perubahan dari segi dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel.
Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, penetapan harga runcit petrol dan diesel adalah melalui ‘Automatic Pricing Mechanism’ (APM) yang dipengaruhi oleh harga minyak yang diproses (refined products) selari dengan harga minyak mentah dunia.
“Sejak 30 Mac 2017, harga petrol dan diesel ditetapkan secara mingguan oleh KPDNHEP melalui warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011”,
“Tujuan pewartaan adalah untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar tidak melebihi harga yang ditetapkan oleh kementerian kewangan”,
“Bagaimanapun, mulai 29 Februari 2020, KPDNHEP telah menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961”, jelasnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, perubahan mekanisme ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat KPDNHEP sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuat kuasa.
Beliau turut menyatakan bahawa KPDNHEP akan terus komited dalam memastikan semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak patuh terhadap harga yang ditetapkan oleh kementerian Kewangan.
“Mengambil kira trend semasa harga minyak mentah dunia, Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi mesmastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara”, jelasnya lagi