Home SemasaGlobal Syarikat China disaman kerana jual 500 ribu topeng muka palsu

Syarikat China disaman kerana jual 500 ribu topeng muka palsu

by M.Daim

NEW YORK, 7 Jun – Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (United States Department of Justice) telah menyaman sebuah syarikat dari China kerana menjual 500 ribu  topeng muka N95 palsu.

Menurut saman yang difailkan di sebuah mahkamah di New York, syarikat King Year Packaging and Printing telah melakukan tiga penghantaran topeng muka kepada pembeli di Amerika Syarikat.

“Topeng muka yang dihantar oleh syarikat yang berpusat di Guandong telah digunakan oleh pasukan petugas kesihatan untuk melindungi diri dari COVID-19,

“Syarikat terbabit mendakwa kesemua topeng muka yang dihantar adalah menepati standard N95. Malah mereka telah mengemukakan pengisytiharan palsu bahawa topeng tersebut telah diuji oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Amerika Syarikat,” kata pihak pendakwa yang dipetik oleh AFP.

Menurut pihak  pendakwa, mangsa telah membayar lebih daripada US$ 1 juta kepada syarikat tersebut.

Sementara itu, pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menegaskan tindakan oleh syarikat China itu adalah membahayakan nyawa para petugas kesihatan Amerika Syarikat.

“Mujur topeng muka yang sampai telah diperiksa dan tidak dihantar kepada petugas kesihatan. Tindakan sebegini jelas membahayakan nyawa rakyat Amerika Syarikat,” kata Douglas Korneski dalam satu kenyataan.

Syarikat King Year Packaging and Printing turut menghadapi 4 pertuduhan yang melibatkan pelanggaran standard keselamatan pemakanan dan kesihatan di Amerika Syarikat.

Pihak syarikat tersebut bakal dikenakan denda maksimum US$ 500 ribu atau 2 kali ganda dari keuntungan penjualan topeng muka untuk setiap pertuduhan. – AirTimes.my

Related Articles

Leave a Reply