Home Semasa 1MDB: Tommy Thomas, Latheefa Koya sepakat ‘buka jalan’ selesai kes Riza Aziz – Peguam Negara

1MDB: Tommy Thomas, Latheefa Koya sepakat ‘buka jalan’ selesai kes Riza Aziz – Peguam Negara

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya secara prinsip bersetuju dengan cadangan representasi bagi penyelesian terhadap tuduhan pengubahan wang haram Riza Shahriz Abdul Aziz.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata beliau telah dinasihatkan bahawa Tommy telah meneliti surat representasi melalui minit bertarikh 19 November 2019, telah memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

“Saya selanjutnya telah dinasihatkan bahawa Gopal Sri Ram, setelah berbincang dengan Latheefa Koya, telah mencadangkan agar cadangan-cadangan yang dinyatakan di dalam representasi itu diterima oleh SPRM,

“Saya juga telah dinasihatkan bahawa Tommy telah secara prinsip bersetuju dengan cadangan tersebut. Ini telah membuka jalan kepada rundingan lanjut dan perancangan mekanisme yang perlu diambil, diadakan,” kata Idrus dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Idrus, pada 11 Mac 2020, pihak Peguam Cara telah menghantar satu lagi surat representasi mengukuhkan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini dan memberi aku janji bahawa, jika Riza Aziz gagal untuk mematuhi mana-mana terma dan syarat yang dinyatakan, kelima-lima pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya dikekalkan.

“Perkara ini telah dibentangkan kepadanya setelah dimaklumkan tentang pendirian Tommy.

“Setelah ditaklimatkan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan perkara ini, saya bersependapat dengan pandangan Tommy sebagaimana yang telah ditaklimat kepada saya, dan telah bersetuju untuk menerima tawaran Riza Aziz tertakluk kepada pematuhan yang ketat terhadap semua terma dan syarat,” katanya.

Tambahnya lagi, pada 16 April lalu SPRM telah membalas surat Peguam Cara yang secara asasnya menyatakan bahawa Pendakwa Raya bersedia umtul memohon satu perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) ke atas kelima-lima pertuduhan tertakluk kepada Riza mengambil langkah untuk memastikan semua wang dan harta yang disita dikembalikan kepada kerajaan Malaysia dan seterusnya membayar kompaun selaras dengan seksyen 93 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Anti-Pembiayaan Keganasan 2001.

“Pada 21 April lalu, pihak SPRM menulis kepada pihak Peguam Cara mengarahkan agar Riza turut melepaskan hak, hak milik, dan kepentingannya ke atas satu lagi aset yang dikenali sebagai “Metropolis Poster” yang merupakan sebuah poster tiga helai berwarna litograf berbingkai ciptaan seorang pelukis dari Jerman bernama Heinz Schulz-Neudamm untuk filem senyap bertajuk “Metropolis” yang telah diterbitkan pada tahun 1927,

“Pada 13 Mei lalu, SPRM sekali lagi menulis kepada pihak Peguam Cara mengarahkan Riza untuk turut memindahkan sejumlah USD14,087,072.76 yang berada di dalam satu akaun escrow di Huntington National Bank di Amerika Syarikat kepada kerajaan Malaysia,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply