LABUAN, 9 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan menahan 14 individu warga Filipina yang menangkap ikan di kawasan pelantar minyak di perairan Pulau Labuan pada Khamis lepas.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander (M) Nor Bakari Abu Bakar berkata, Bot Ronda yang sedang melakukan Op Pelantar telah mengesan dua bot nelayan dan tujuh bot kecil sedang memancing ikan di dalam kawasan pelantar minyak Kikeh di kedudukan lebih kurang 60 batu nautika dari barat laut Pulau Labuan.
Nor Bakari berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, dua bot nelayan terbabit sedang bertambat pada hos minyak FPSO (Floating Production Storage and Offloading) Kikeh sebagai bot induk manakala tujuh lagi bot kecil sedang melakukan aktiviti memancing berhampiran dengannya.
“Kesemua 14 orang yang ditahan berumur antara 14 hingga 71 tahun iaitu 2 warga tempatan, manakala 12 lagi berasal dari Filipina iaitu masing-masing 3 pemastautin tetap, 5 pemegang kad IMM13, seorang hanya memiliki surat beranak dan 3 lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,
“Mereka akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1 1962/60 dan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” jelas beliau.
Nor Bakari menjelaskan, kesemua mereka yang ditahan menjalani saringan ujian COVID-19 dan bot-bot terbabit dijalankan proses nyah kuman oleh Jabatan Kesihatan Negeri W.P Labuan.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya menjauhi kawasan pelantar minyak kerana sebarang aktiviti yang dilakukan dalam kawasan 500 meter radius boleh membahayakan nyawa yang berada di situ. – AirTimes