ALOR SETAR, 5 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 4 lagi suspek disyaki dalang menyeludup masuk 202 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) etnik Rohingya di perairan Langkawi pada 5 April lepas.
Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah/Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata penahanan kesemua suspek ini adalah susulan daripada siasatan terhadap 2 tangkapan yang lepas pada 16 April 2020 dan 18 April 2020 di Simpang Empat dan Guar Chempedak, Kedah.
“Kesemua suspek yang ditahan ini adalah di bawah ‘Ops Khas Dallal’ yang telah dilancarkan pada awal April lalu bagi menjejaki rangkaian ahli sindiket yang terlibat dalam urus niaga penyeludupan PATI etnik Rohingya,
“Tangkapan ke atas keempat-empat suspek telah dilakukan secara berasingan pada 3 Mei 2020 di beberapa lokasi sekitar Negeri Kedah iaitu di Kota Sarang Semut, Pendang dan Simpang Empat,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua suspek adalah lelaki warganegara Myanmar yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 53 tahun.
“Kesemua suspek telah direman selama 14 hari untuk disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Selain itu, Zulinda berkata APMM masih memburu 2 lagi suspek dipercayai merupakan dalang utama yang disyaki masih berada di sekitar Utara bagi mengatur kemasukan PATI Rohingya ke Kedah, Pulau Pinang dan Johor. – AirTimes