Home Semasa AS pulangkan AS$300 juta hasil lucut hak harta (1MDB) berkaitan Jho Low

AS pulangkan AS$300 juta hasil lucut hak harta (1MDB) berkaitan Jho Low

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Apr – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bahawa dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak AS$300 juta telah dipulangkan kepada kerajaan Malaysia oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata jumlah tersebut merupakan dana diperolehi semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) AS.

“Pada 30 Okt 2019, penjenayah dikehendaki Malaysia, Jho Low telah mencapai penyelesaian dengan DOJ berkenaan beberapa tuntutan pelucutan hak yang telah difailkan oleh jabatan itu ke atas aset-aset yang telah dibeli Jho Low menggunakan dana 1MDB,

“Jumlah AS$300 juta ini merangkumi beberapa aset yang telah dilucut hak dan dijual, serta juga aset berkaitan 1MDB yang telah disita dan diserahkan kembali oleh individu tertentu berkait dengan Jho Low,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, pemulangan tersebut bermakna dana 1MDB yang telah dikembalikan kepada Malaysia sama ada dalam bentuk hasil proses penjualan ataupun aset secara keseluruhannya kini berjumlah AS$620 juta.

“Proses untuk menjual baki aset yang disita daripada Jho Low masih diteruskan atas keputusan penghakiman DOJ,

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika, terutamanya kedutaan negara itu di Kuala Lumpur atas bantuan dan kerjasama utuh dalam melancarkan pemulangan wang berjumlah AS$300 juta ini,

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Kewangan Malaysia dan Peguam Negara atas peranan mereka dalam proses rundingan yang berkaitan,” ujarnya.

Selain itu, Muhyiddin berkata usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan AS, DOJ dan agensi luar negara untuk membawa pulang lebih banyak aset 1MDB pada masa akan datang – Airtimes

Related Articles

Leave a Reply