Home Semasa Kerajaan Brunei bantu bawa balik rakyat Malaysia terkandas di Kaherah

Kerajaan Brunei bantu bawa balik rakyat Malaysia terkandas di Kaherah

by Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kerajaan Brunei bersetuju membenarkan sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah, Mesir, untuk menaiki pesawat negara berkenaan, selaras dengan misi repatriasi rakyat mereka, yang dijadualkan berlepas dari Kaherah esok.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, keputusan itu dicapai menerusi komunikasi antara Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan Menteri Luar Negeri II Brunei, semalam.

“Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, sedang berkomunikasi rapat dengan pihak Kedutaan Besar Brunei di Kaherah, mengenai pelan repatriasi ini.

“Sehingga hari ini, seramai 86 orang rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di Kaherah, Mesir. Namun disebabkan kapasiti penerbangan Brunei yang terhad, hanya 51 orang rakyat Malaysia sahaja dibolehkan menaiki penerbangan tersebut,” katanya pada sidang media, perkembangan terkini proses repatriasi rakyat Malaysia di luar negara secara langsung, di Facebook rasmi Wisma Putra hari ini.

Kamarudin berkata, keutamaan diberikan kepada warga emas dan pelancong rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air.

Penerbangan dijangka tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei, pada 8.40 pagi, Ahad.

Kamarudin berkata, bagi pihak Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia, menjunjung kasih kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, di atas perkenan kebenaran membawa pulang 51 rakyat Malaysia, menaiki pesawat yang dihantar oleh Brunei.

Jelasnya Wisma Putra sedang giat mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses seterusnya bagi rakyat Malaysia, setibanya mereka di Brunei Darussalam kelak.

Sementara itu beliau berkata setakat hari ini, jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara meningkat kepada 3,468 di 61 buah negara.

Jelasnya jumlah itu menjadi semakin tinggi, dengan peningkatan ketara rakyat Malaysia yang mendaftarkan diri di Kedutaan Besar Malaysia di Chennai, sebagai mereka yang terkandas.

Wisma Putra sedang berusaha gigih untuk terus menyelesaikan keadaan ini, dan sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membawa mereka pulang ke Malaysia.

“Rakyat Malaysia yang kebetulan berada di luar negara atas urusan kerja, urusan keluarga dan bercuti. Mereka telah mempunyai tiket untuk pulang ke Malaysia, tetapi tidak dapat pulang kerana halangan perjalanan atau syarikat penerbangan membatalkan penerbangan mereka, disebabkan pandemic COVID-19.

“Saya ingin jelaskan, usaha memudah cara kepulangan ini bukan mudah. Terdapat beberapa cabaran dan halangan yang perlu kita tempuhi. Pertama, banyak negara telah mengisytiharkan ‘lockdown’ ekoran penularan wabak COVID-19,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu berunding dengan kerajaan negara terlibat, bagi mendapatkan kelulusan pendaratan penerbangan.

Katanya menerusi hubungan baik Malaysia dengan pelbagai negara, rundingan yang dilakukan dengan sebahagian besar kerajaan di negara lain, telah menemui hasil yang diharapkan.

“Namun, rundingan dengan beberapa negara khususnya berkaitan isu domestik di sana mengambil sedikit masa. Kedua, tiada langsung pesawat komersial dibenarkan untuk membuat penerbangan keluar masuk ke beberapa buah negara,” jelasnya.

Kamarudin berkata dalam situasi ini, sekali pun kerajaan peroleh kebenaran mendarat, namun masih perlu dapatkan pesawat sewa khas.

Dalam pada itu beliau berkata biarpun peruntukan terhad, kerajaan telah berjaya mendapatkan bantuan ihsan daripada beberapa pihak yang prihatin terhadap kebajikan rakyat, seperti syarikat persendirian dan pertubuhan termasuk MIC serta T7 Global Berhad, bagi membiayai pesawat sewa khas membawa pulang rakyat ke tanah air dengan selamat. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply