PUTRAJAYA, 26 Mac – Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan masa untuk berlembut kepada yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah tamat.
Menurut beliau, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membentangkan prosedur baharu yang lebih tegas pada minggu ini.
“MKN akan bentangkan SOP yang lebih tegas pada Sabtu ini,” katanya semasa Sidang Media Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya baru-baru ini.
Menurut beliau, pihak polis melaporkan tahap pematuhan PKP masih lagi berada pada 95%.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan rakyat mahukan kerajaan lebih bertindak tegas terhadap mereka yang mengingkari PKP.
“Ini adalah yang rakyat mahukan. Saya telah menerima banyak mesej dari rakyat bahawa mereka mahu tindakan yang lebih tegas,
“Mereka tidak mahu hanya kerana 5% yang mengingkari PKP, kesannya akan ditanggung oleh 95% (yang mematuhi PKP),” kata tegas Ismail
Menurut Ismail Sabri, sebanyak 110 tangkapan telah dibuat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada semalam.
“Saya sudah memberi peringatan bahawa cara pihak polis akan berubah dari nasihat kepada tindakan yang lebih tegas,” jelas Ismail Sabri yang juga merupakan Menteri Pertahanan Malaysia.