Home Semasa COVID-19: 33 Pesakit Sembuh, dibenarkan keluar wad setakat 13 Mac – KP Kesihatan

COVID-19: 33 Pesakit Sembuh, dibenarkan keluar wad setakat 13 Mac – KP Kesihatan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Seramai 33 individu yang dijangkiti COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan pulang sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Hisham Abdullah.

Melalui platform Twitter @DGHisham, beliau juga menasihatkan supaya jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak di Masjid Jamek Sri Petaling di sini dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu tidak solat berjemaah di masjid dan surau atau menghadiri solat Jumaat sekiranya mempunyai gejala sehingga mereka disahkan sihat.

Dr Noor Hisham turut menyarankan supaya ahli jawatankuasa dan pengurusan masjid serta surau untuk mengambil langkah pencegahan dan pembersihan di masjid dan surau masing-masing dalam menangani penularan wabak COVID-19.

“Disarankan pihak pengurusan masjid dan surau kerap membersihkan permaidani, pintu dan selusur (railing) menggunakan bahan pencuci dan bahan penyahjangkit,’’ katanya.

Menurutnya, pengurusan masjid dan surau perlu mengingat kembali dan mengesan ahli jemaah yang pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dan seterusnya memberi nasihat kepada mereka untuk disaring bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat setempat.

Semalam, Bernama melaporkan sebanyak 39 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari, menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 197 kes – Bernama

Related Articles

Leave a Reply