Home Pertahanan dan Keselamatan Usah heret Laut China Selatan ke kancah konflik proksi global – Mohamad Sabu

Usah heret Laut China Selatan ke kancah konflik proksi global – Mohamad Sabu

by M.Daim

MUNICH, 16 Feb – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan rantau Asia khususnya Laut China Selatan perlu bebas daripada ancaman konflik proksi global.

Mohamad kini berada di Jerman bagi menghadiri Munich Security Conference 2020 (MSC2020).

Dalam satu acara persidangan, Mohamad menyampaikan ucapannya yang menyentuh isu konflik proksi antara Eropah dan Rusia.

“Walaupun Rusia dan Eropah tidak berperang, mereka telah mengalihkan peperangan mereka secara proksi ke Timur Tengah,

“Kedua-dua pihak telah menaja dan membiayai kumpulan-kumpulan yang mereka pilih. Kita dapat lihat perkara sebegini dengan jelas di Libya,” kata Mohamad.

Konflik di wilayah Afrika Utara dan Timur Tengah lebih menjurus kepada konflik proksi antara kuasa besar dunia.

Dalam ucapannya, Mohamad turut menegaskan bahawa rantau Asia terutamanya Laut China Selatan perlu bebas dan tidak terheret ke dalam kancah perang proksi.

“Kita sedar bahawa China sedang muncul sebagai kuasa baharu dan Malaysia sentiasa berbincang dengan mereka,” katanya.

Mohamad turut menyeru negera-negara Eropah untuk bersama-sama berbincang untuk mengekalkan keamanan di Laut China Selatan.

Sementara itu, Mohamad dalam satu kenyataan berkata, isu pemodenan persenjataan antara Eropah dan Rusia telah dibincangkan dalam satu acara tersebut.

“Mereka berbincang tentang pemodenan persenjataan oleh Rusia walaupun mempunyai tahap pencapaian ekonomi yang rendah,

“Pihak Eropah pula memberitahu mereka sedang berusaha memodenkan lagi persenjataan untuk bersaing dengan Rusia,

“Sejak Perang Dunia ke-2 tamat, tiada perperangan besar antara Rusia dan Eropah kecuali perang dingin,” jelasnya dalam kenyataan itu.

Persidangan MSC2020 telah diadakan di Munich, Jerman bermula 14 Februari lalu dan akan berakhir pada 16 Februari ini. Siri persidangan yang telah dianjurkan semenjak lebih 50 tahun lalu menjadi persidangan utama yang membahaskan dasar keselamatan antarabangsa.

Persidangan kali ini menyaksikan kehadiran lebih 500 orang delegasi peringkat tinggi dari seluruh dunia termasuk pemimpin negara, menteri-menteri kabinet serta tokoh terkemuka dalam bidang keselamatan.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkaitan persidangan kali ini membincangkan pelbagai isu keselamatan dunia yang semakin membimbangkan. Antara isu yang dibincangkan termasuk kawalan senjata, cabaran mengekalkan keamanan dan keselamatan di Asia Pasifik, dialog berhubung program peluru berpandu, multilateralisme dan peralihan kuasa besar.

“Kehadiran Menteri Pertahanan ke MSC 2020 adalah sebahagian daripada Perkongsian Berwibawa yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) di bawah inisiatif diplomasi pertahanan,

“Inisiatif ini menggalakkan hubungan pertahanan positif melalui platform dua hala dan pelbagai hala dalam menangani isu pertahanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa yang dikongsi oleh Malaysia dan negara lain,” jelas Kementerian Pertahanan Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply