TAWAU, 12 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya menahan 2 warga asing kerana gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah di kawasan perairan Log Pond, Tawau, semalam.
Dalam kejadian 6.30 petang itu, penahanan 2 warga asing itu dilakukan semasa bot peronda Ops Pluto Timur sedang membuat rondaan di kawasan tanggungjawab dan berjaya menahan sebuah bot kargo tanpa nombor pendaftaran.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata bot tersebut dipercayai menuju keluar dari jeti Log Pond menuju ke Sungai Haji Kuning.
“Hasil pemeriksaan, mendapati seorang juragan bot berumur 32 tahun dan seorang penumpang wanita berumur 51 tahun dalam bot berkenaan,” katanya.
Beliau berkata setelah ditahan juragan bot itu gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala penumpang wanita hanya mengemukakan salinan dokumen passport.
“Bot kargo dan kedua-dua warga asing itu dibawa ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah yang membawa hukuman denda sehingga RM10 ribu atau penjara sehingga lima tahun atau kedua- keduanya, jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.
