KUALA LUMPUR, 24 Jan – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini menegaskan komitmen negara melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memenuhi perlaksanaan Perjanjian Kerjasama Tiga Negara (Trilateral Cooperative Arrangement, TCA) di perairan Laut Sulu.
Beliau menyuarakan komitmen tersebut semasa mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, H. Prabowo Subianto di Jakarta.
Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua menteri menyuarakan keyakinan terhadap TCA dalam menangani ancaman keselamatan maritim di perairan Laut Sulu. Melalui TCA, pasukan tentera dari Malaysia, Indonesia serta Filipina melaksanakan rondaan bersama maritim dan udara.
“Kedua-dua menteri telah bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana semasa Pemukiman Persidangan Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang akan berlangsung pada Februari ini,
“Pertemuan yang dirancang akan membincangkan cara untuk mempertingkatkan TCA,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, kedua-dua menteri pertahanan bersetuju bahawa lawatan kerja Mohamad ke Indonesia merupakan cerminan kepada hubungan pertahanan yang baik di antara kedua-dua negara.
“Hubungan pertahanan Malaysia-Indonesia adalah berada dalam keadaan baik terutamanya melalui Sidang General Border Committee (GBC) semenjak 1972,
“Hubungan turut diperkukuhkan dengan kerjasama rondaan bersama di Selat Melaka (Malacca Straits Patrol, MSP) dan TCA,” jelas Kementerian Pertahanan Malaysia.
Pertemuan Mohamad bersama Prabowo turut membincangkan pengukuhan kerjasama pertahanan di antara kedua-dua negara terutamanya melibatkan kerjasama industri pertahanan.
Selain daripada itu, Mohamad turut menjemput Prabowo untuk menghadiri pameran Defence Services Asia Exhibition and Conference (DSA 2020) dan National Security Asia 2020 (NATSEC 2020) yang dijadualkan akan berlangsung pada 20-23 April 2020 di Kuala Lumpur.