KUALA LUMPUR, 23 Jan – Sebanyak RM 524,800.20 telah dimanfaatkan oleh 1,021 orang asnaf melalui sumbangan Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM (YVATM) pada tahun 2019.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menjelaskan asnaf yang terlibat adalah terdiri daripada veteran tentera termasuk balu dan anak-anak.

Sebanyak RM 524,800.20 telah dibelanjakan bagi bantuan persekolahan, kebajikan am, pendidikan dan peralatan pesakit pada tahun 2019 kepada veteran tentera termasuk balu dan anak-anak – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM
“Sebanyak RM 524,800.20 telah dibelanjakan bagi bantuan persekolahan, kebajikan am, pendidikan dan peralatan pesakit pada tahun 2019,” kata Affendi semasa menyampaikan ucapan perasmian mewakili Menteri Pertahanan dalam Majlis Pelancaran Yayasan Veteran ATM (YVATM) sebagai Ejen Perunding Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Wisma Perwira, hari ini.
Beliau berkata, jumlah penerima dijangka akan bertambah dan pihak YVATM telah mensasarkan sebanyak RM 1 juta bayaran zakat harta (perniagaan).
“Untuk mencapai sasaran tersebut, Kementerian Pertahanan memerlukan kerjasama daripada pihak usahawan, korporat, dan syarikat untuk membayar zakat perniagaan melalui YVATM,
“Saya sarankan agar Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dan cawangan negeri untuk terus mendapatkan maklumat asnaf veteran agar mereka tidak terlepas dari menerima bantuan dari pihak Kementerian Pertahanan,” ujar Affendi.