Home Semasa Isu Pendidikan: Banyak perkara perlu dikaji semula – Tun Mahathir

Isu Pendidikan: Banyak perkara perlu dikaji semula – Tun Mahathir

by Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau telah mendapat idea mengenai apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki sistem pendidikan di Malaysia.

Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata beliau kini dalam proses mendapatkan maklumat berhubung sistem pendidikan di negara ini oleh pihak kementerian.

“Kita dapati banyak perkara yang perlu kita kaji semula.

“Sama ada ia baik atau tidak, kita dapati orang ramai biasanya membuat teguran dan kita akan ambil kira teguran mereka, sama ada kita perlu buat perubahan atau tidak,” katanya di sini, hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sesi perbualan khas Bank Rakyat bersama Perdana Menteri.

Dr Mahathir kini memangku sementara jawatan Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Jan lepas, susulan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata pendidikan bertujuan mendidik pelajar supaya mereka boleh hidup dengan sempurna.

“Tujuan kita ialah untuk mendidik anak kita supaya apabila mereka membesar, mereka boleh hidup sempurna, cari makan, boleh bekerja, boleh menjadi orang yang produktif, dan bukan orang yang hanya menanti-nanti untuk mendapat bantuan sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai permintaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) supaya kerajaan mempertimbangkan untuk memasukkan Influenza A dalam senarai jenis penyakit berjangkit yang diberikan kemudahan cuti kuarantin, Dr Mahathir secara ringkas menjawab “saya kena fikir dahulu”.

Perdana Menteri berkata beliau juga sedang meneliti berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC). – Bernama

Related Articles

Leave a Reply