Home Semasa Terap budaya senggaraan peralatan demi kesiagaan Tentera Darat

Terap budaya senggaraan peralatan demi kesiagaan Tentera Darat

by Bernama

TAIPING, 12 Dis – Anggota Pasukan 3 Rejimen Artileri Diraja (RAD) diminta agar menerapkan budaya senggaraan ke atas peralatan yang dibekalkan, demi menjaga kesiagaan pasukan serta jangka hayat peralatan Tentera Darat.

Pengerusi RAD Mej Jen Datuk Zukipli Mohd Zahir berkata setiap anggota perlu menjaga aset-aset yang telah dipertanggungjawabkan dan mengendalikannya dengan sebaik mungkin mengikut pengkhususan kepakaran masing-masing.

“Budaya ini merupakan satu proses untuk menunjukkan bahawa kita menghargai peruntukan yang telah dikeluarkan kerajaan, yang membekalkan aset jutaan ringgit kepada tentera darat,’’ katanya ketika berucap sempena lawatan kerja sempena persaraannya di Pasukan 3 RAD di Kamunting dekat sini, semalam.

Selain itu, Zulkifli juga meminta agar pegawai memerintah mempunyai inisiatif, untuk melaksanakan program berat badan ideal (BMI) dan kaedah memantau BMI, agar laluan kerjaya setiap anggota tidak terjejas.

Menurutnya, perkara ini kerap ditekankan oleh pucuk pimpinan Tentera Darat, kerana masih lagi terdapat pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang mempunyai paras BMI melebihi 26.9, yang tidak mencerminkan imej ketenteraan yang segak berketerampilan dan sihat.

“Pegawai dan anggota yang BMI melebihi 26.9, bukan sahaja tidak layak disokong dan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat, serta menyambung perkhidmatan malahan mereka juga tidak berpeluang untuk meningkatkan kerjaya, dari segi kursus dan sebagainya,” katanya. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply