Home Pertahanan dan Keselamatan Skandal ‘land swap’: Kementerian Pertahanan belum terima hasil siasatan

Skandal ‘land swap’: Kementerian Pertahanan belum terima hasil siasatan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Kementerian Pertahanan masih belum dimaklumkan mengenai sebarang hasil siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan projek kontroversi ‘land swap’.

Menterinya, Mohamad Sabu bagaimanapun menegaskan pihaknya telah mengemukakan laporan siasatan bagi dua daripada 16 projek ‘land swap’ kepada pihak SPRM pada 21 Februari lepas.

“Manakala laporan siasatan baki 14 projek ‘land swap’ telah dikemukan pada 16 Mei 2019 untuk siasatan lanjut pihak SPRM,

“Berikutan itu, Kementerian Pertahanan bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak SPRM dalam penyiasatan ini, katanya ketika menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata sehingga kini, Kementerian Pertahanan tidak menerima apa-apa maklumbalas dari penemuan atau hasil siasatan oleh pihak SPRM berkaitan projek tersebut.

Dalam perkembangan sama Mohamad berkata, pihak kementerian telah membentangkan kertas kepada Jemaah Menteri pada 18 September 2019 untuk mendapatkan kelulusan berhubung hala tuju skandal itu bagi projek di Hutan Melintang, Perak.

“Pemakluman kepada Jemaah Menteri turut dilaksanakan pada 18 Oktober 2019 melibatkan tujuh projek yang lain bertujuan untuk mendapatkan hala tuju projek-projek tersebut,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata isu perolehan enam helikopter tempur MD530G yang masih belum diterima kerajaan akan dibentangkan dalam masa terdekat.

“Sebarang tindakan terhadap syarikat dan mereka yang berkaitan akan diambil sewajarnya selepas keputusan terhadap hala tuju perolehan ini dibuat.

“Jemaah Menteri akan membuat keputusan mungkin dalam seminggu dua ini selepas kertas Kabinet dibawa iaitu untuk menentukan kedudukan perolehan helikopter ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi berhubung tindakan kerajaan dalam isu pembelian enam helikopter MD530G yang masih belum diterima.

Menurut Mohamad, kerajaan sudah membayar RM112 juta iaitu 35 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi memperoleh helikopter terbabit dengan perjanjian selama dua tahun bermula November 2015 hingga 24 November 2017.

“Oleh kerana ia belum diterima, maka Jemaah Menteri akan buat keputusan sama ada mahu menamatkan atau meneruskan (perolehan helikopter),

“Jika ditamatkan, langkah perlu diambil termasuk menuntut semula wang (RM112 juta) dan jika nak diteruskan, mereka perlu memenuhi peralatan yang diperlukan dalam helikopter terbabit,” katanya.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply