Home Semasa Buat laporan polis ikut ‘kebiasaan’, Koroner tegur saksi inkues kematian kadet TLDM

Buat laporan polis ikut ‘kebiasaan’, Koroner tegur saksi inkues kematian kadet TLDM

by Bernama

IPOH, 27 Nov – Hakim Koroner di sini hari ini menegur seorang pembantu perubatan 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut kerana membuat laporan polis mengikut ‘kebiasaan’ dan bukannya berdasarkan keadaan sebenar.

Koroner Azman Abu Hassan membuat teguran tersebut semasa saksi inkues kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) J. Soosaimanicckam, iaitu Mohd Fazil Mansor memberi keterangan.

Mohd Fazil, yang berkhidmat dengan 96 HAT sejak 2017 dalam laporan polis yang dibuat pada 19 Mei 2018 menyatakan beliau menyambut Soosaimanicckam semasa tiba di hospital sebelum dibawa ke Jabatan Kecemasan.

Beliau juga menyatakan menerima mayat pelatih itu selepas disahkan meninggal dunia kira-kira 1.45 tengah hari oleh Pegawai Perubatan 96 HAT, Mej Dr Harvind Singh.

Bagaimanapun, dalam prosiding inkues hari ini, Mohd Fazil memaklumkan bukan beliau yang menyambut Soosaimanicckam di 96 HAT, sebaliknya dua kakitangan hospital dan beliau juga tidak menerima mayat pelatih itu.

Keterangan Mohd Fazil yang bercanggah dengan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung mendapat teguran daripada koroner.

“Lain kali kalau buat laporan (polis), laporkan apa yang kita alami untuk elak kekeliruan, sebab (laporan) akan menjadi rujukan masa depan, kami (mahkamah) pegang pada laporan itu. Awak buat ini (menyatakan terima) sebab menjadi kebiasaan,” kata Azman.

Sementara itu, kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar mengapa beliau yang membuat laporan polis, Mohd Fazil berkata dia diminta berbuat demikian oleh Dr Harvind bagi membolehkan bedah siasat dijalankan terhadap mayat Soosaimanicckam atas permintaan keluarga mendiang.

Mohd Fazil juga setuju dengan cadangan peguam bela yang mewakili keluarga, Mahajoth Singh bahawa laporan polisnya tidak tepat kerana beliau tidak berada di Jabatan Kecemasan semasa Soosaimanicckam disahkan meninggal dunia dan tidak menerima mayat mendiang.

Beliau bagaimanapun memberitahu telah melihat sendiri mayat Soosaimanicckam lengkap berseluar hitam dan berkemeja sebelum membuat laporan polis.

Prosiding bersambung esok dengan Mahkamah Koroner dijangka memanggil Dr S.Saravanan dari Hospital Seri Manjung yang bertanggungjawab menjalankan bedah siasat ke atas Soosaimanicckam.

Soosaimanicckam meninggal dunia semasa menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei 2018.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply