Home Pertahanan dan Keselamatan Ubah strategi ATM agar kekal relevan sepanjang zaman

Ubah strategi ATM agar kekal relevan sepanjang zaman

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat penilaian semula secara menyeluruh ke atas strategi pertahanannya dalam membentuk Future Force bagi memenuhi keperluan untuk mengatasi cabaran semasa dan masa hadapan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata keperluan penilaian strategi pertahanan tersebut adalah bagi memastikan ATM akan terus relevan dalam memainkan peranannya demi menjaga kedaulatan dan kepentingan negara.

Peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)

Keamanan dan keselamatan merupakan asas kepada pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negara. Sehubungan itu, bagi mencapai situasi ini, ATM memainkan peranan yang penting bagi mencegah konflik daripada tercetus.

Mohamad berkata ATM merupakan penjaga keamanan dan keselamatan negara serta berperanan dalam memastikan kedaulatan negara dilindungi supaya pembangunan sosio-ekonomi dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.

“Usaha untuk mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara bukanlah satu tugas yang mudah. Walaupun ia merupakan tanggungjawab utama ATM, ianya tidak dapat dilakukan secara solitari,

“Landskap keselamatan masa hadapan akan memaksa ATM untuk melaksanakan pelbagai tugasan dengan aset dan keanggotaan yang terhad.

“Oleh itu konsep “whole of government” dan “whole of society” perlu diterapkan bagi memastikan keamanan dan keselamatan yang berterusan,” kata Mohamad ketika merasmikan Persidangan Malaysia Institute of Defence and Security (MIDAS Conference) 2019 di sini, hari ini.

Menurut Mohamad walaupun konsep pertahanan menyeluruh (HANRUH) telah diperkenalkan, namun peranan masyarakat dalam pertahanan masih boleh diperbaik dan dipertingkatkan.

“Transformasi pembangunan domain peperangan iaitu darat, maritim, udara dan siber ini turut bersandarkan kepada keupayaan dalam empat dimensi iaitu bawah permukaan (sub-surface), permukaan (surface), udara dan siber,

“Walau bagaimanapun, ATM dilihat masih perlu dipermoden dan dilengkapkan lagi atas faktor keusangan teknologi, peralatan dan aset sedia ada.

“ATM juga perlu menghadapi cabaran baru dalam persekitaran geo-strategik semasa serta ancaman keselamatan bukan tradisional seperti bencana alam dengan pelaksanaan Military Operation Other Than War Atau M-O-O-T-W,” jelas Mohamad.

 Malaysia Sebagai Negara Maritim

Mohamad berkata Malaysia perlu mempergiatkan pelbagai usaha dan memanfaatkan sumber maritim secara optimum serta mampan untuk menjadi sebuah negara maritim yang sebenar.

“Kelebihan dari segi kedudukan Malaysia yang strategik di tengah-tengah laluan perkapalan dunia dan kaya dengan sumber laut menjadikan Malaysia sebagai sumber terpenting maritim di Asia,

“Keupayaan Malaysia sebagai negara maritim didorong oleh pelbagai faktor seperti kedudukan geografi dan keadaan fizikal negara ini,

“Malaysia yang terletak di laluan perdagangan antarabangsa di antara India dan China serta timur dan barat menjadikan Malaysia sebagai ‘gerbang penjalin’ kedua-dua rantau asia pasifik serta Lautan Hindi,” tambah Mohamad.

Beliau berkata penilaian semula Malaysia sebagai negara maritim perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Hal ini bukan sahaja disebabkan oleh faktor perubahan ekonomi dan politik serantau, malah disebabkan oleh peningkatan ancaman keselamatan yang datang dari arah perairan negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Panglima Angkatan Tentera, jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Panglima-Panglima perkhidmatan, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan dan ATM.

Persidangan ini merangkumi aspek-aspek berkaitan keselamatan, pertahanan, ekonomi, politik, logistik, hubungan antarabangsa ASEAN, pengangkutan dan cabang-cabang yang akan dihadapi sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai kepentingan di rantau ini.

Dalam persidangan ini juga membincangkan perspektif berkaitan ancaman yang berkemungkinan datang dari laut yang berkongsepkan conventional warfare atau unconventional warfare.

Related Articles

Leave a Reply