Home Pertahanan dan Keselamatan Menteri Pertahanan suarakan pendirian Malaysia dalam isu keselamatan serantau

Menteri Pertahanan suarakan pendirian Malaysia dalam isu keselamatan serantau

by Nurulhuda

BANGKOK, 18 Nov – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berada di Bangkok bagi menghadiri Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) dan mesyuarat ADMM-Plus ke-6 yang diadakan Bangkok, Thailand.

Acara yang diadakan serentak dengan Pameran Defence & Security 2019 itu turut dihadiri oleh kesemua Menteri Pertahanan dari negara-negara ASEAN.

Dalam mesyuarat tersebut, Mohamad telah menyampaikan pandangan bagi pihak Malaysia mengenai kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa dalam mengukuhkan serta mengeratkan hubungan bagi menghadapi cabaran keselamatan bukan  tradisional termasuk keselamatan siber.

Beliau turut menyuarakan kebimbangannya mengenai situasi di wilayah Rakhine, Myanmar yang boleh membawa kepada penyebaran ideologi ekstremisme.

“Keadaan semasa harus ditangani dengan bijaksana untuk mengelakkan pelarian Rohingya melarikan diri ke negara-negara jiran termasuk Malaysia dan menghalang mereka daripada terpengaruh dengan ideologi ekstremis akibat penderitaan mereka, tegas Mohamad.

Selain daripada itu, beliau turut menghadiri Mesyuarat ADMM-Plus ke-6. Mesyuarat ini disertai oleh Menteri Pertahanan atau wakil dari 8 buah negara Rakan Dialog Plus ASEAN.

Dalam mesyuarat tersebut, Mohamad menegaskan negara-negara rakan dialog perlu  meneruskan dan menghormati serta mematuhi komitmen yang telah dibuat semasa Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus ke-5 pada tahun 2018 lalu.

Negara Rakan Dialog Plus ASEAN adalah terdiri daripada Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, dan Amerika Syarikat.

Mesyuarat yang bertemakan Keselamatan Mampan (Sustainable Security) pada tahun ini, Mohamad juga menggalakkan negara-negara ADMM-Plus untuk menghayati tema ini sebagai satu visi untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini dengan konsep ASEAN centrality dan ASEAN shared-interest sebagai prinsip panduan utama.

Selain menghadiri mesyuarat ASEAN dan ADMM-Plus, Mohamad turut  mengambil bahagian dalam tiga Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN, iaitu dengan China, Jepun dan Amerika Syarikat, serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Australia, China dan New Zealand.

Pihak Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kehadiran Mohamad ke mesyuarat-mesyuarat yang diadakan adalah sebahagian daripada inisiatif diplomasi pertahanan.

“Inisiatif diplomasi pertahanan yang diamalkan Malaysia bagi menggalakkan hubungan pertahanan positif melalui platform pelbagai hala dalam menghadapi isu pertahanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa,

“Kehadiran Menteri Pertahanan juga merupakan simbol komitmen berterusan Malaysia terhadap ASEAN sebagai platform kerjasama serantau utama,” jelas kenyataan tersebut.

Related Articles

Leave a Reply