Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan peruntukan 500 unit rumah mampu milik untuk anggota, veteran tentera

Kerajaan peruntukan 500 unit rumah mampu milik untuk anggota, veteran tentera

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran ATM serta keluarga boleh memiliki rumah mampu milik (RMM) yang telah diberi subsidi kos pembinaan oleh Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) pada harga RM199,750 seunit tahun depan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata kerja pembinaan pangsapuri tersebut hampir siap sepenuhnya dan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance (CCC)) dijangka akan diterima pada suku pertama tahun 2020.

Tambah Mohamad, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) sedang membina 2,000 unit pangsapuri yang berkeluasan 850 kaki persegi di Taman LTAT, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Mohamad Sabu menyatakan kepada Dewan Rakyat bahawa pada akhir tahun 2018, PPAM dan LTAT telah bersetuju untuk memberi subsidi kos pembinaan kepada hanya 500 unit pangsapuri, manakala baki sebanyak 1,500 unit lagi akan dijual kepada umum pada harga pasaran di bawah program Residensi Wilayah yang dahulunya dikenali sebagai Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

“Memang segala projek kerajaan terdahulu akan disambung Kementerian Pertahanan, seperti sekarang, kementerian dalam proses menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT),

“Kerajaan telah memperuntukan RM150 juta untuk membaiki RKAT tersebut dan pembaikan akan diteruskan untuk keselesaan anggota tentera kita,” kata Menteri Pertahanan ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Lenggong ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Related Articles

Leave a Reply