Home Pertahanan dan Keselamatan Dangkal jika kritik tentera satu pembaziran – Panglima Angkatan Tentera

Dangkal jika kritik tentera satu pembaziran – Panglima Angkatan Tentera

by M.Daim

LUMUT, 27 Sept – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin hari menegaskan sikap sesetengah pihak yang menganggap bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pembaziran wang rakyat adalah satu bentuk pemikiran dangkal.

“Anggapan sesetengah pihak bahawa organisasi ATM bercenderung kepada ketirisan dan pembaziran wang rakyat adalah satu pemikiran dangkal yang didasari oleh sikap tidak mengenang budi,” kata Zulkifli semasa berucap di Perbarisan Hari ATM ke-86, hari ini.

Namun begitu, beliau berpesan kepada semua peringkat warga ATM untuk tidak cepat gundah gulana. Beliau yakin rakyat Malaysia lebih arif dalam menilai jasa bakti ATM kepada negara.

“Warga tentera akan berusaha sehabis baik untuk memenuhi kehendak rakyat, sesuai dengan keinginan mereka yang sentiasa mengimpikan keamanan berterusan,

“Khidmat kita (ATM) ini bukan untuk meraih sanjungan mahupun populariti tetapi memikul amanah fardhu kifayah,

“Saya yakin dengan sepenuh hati bahawa semangat juang kita tidak pernah luntur biar apa jua rintangan dihadapi,” tegas Panglima Angkatan Tentera.

Perbarisan Hari ATM ke-86 diadakan sempena Hari ATM telah diadakan di Padang Kawad KD Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.

Turut hadir ke majlis ini ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Perbarisan pada hari ini adalah berkonsepkan Perbarisan Tempur dengan melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Konsep perbarisan ini adalah selari dengan tema sambutan iaitu “Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama”.

Seramai 54 pegawai dan 868 anggota lain-lain pangkat serta melibatkan 12 kontijen termasuk 3 kontijen wanita menyertai perbarisan tersebut.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin diiringi oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany memeriksa perbarisan. Foto: Ria Nadia

Acara perbarisan turut diisi dengan Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara, Penyampaian Sijil Kepujian Panglima Angkatan Tentera, Penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (Siaga PAT) Tahun 2019, Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baru Tahun 2018, Penyampaian Piala Kejohanan Special Forces Ultimate Challenge 2019 serta perlantikan Sarjan Mejar Rejimen ATM dan Sarjan Mejar Rejimen Istiadat ATM.

Related Articles

Leave a Reply