Home Pertahanan dan Keselamatan Sultan Perak cemar duli lawat Institut Perubatan Penerbangan

Sultan Perak cemar duli lawat Institut Perubatan Penerbangan

by M.Daim

SUBANG, 25 Sept –Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan untuk mencemar duli melawat Institut Perubatan Penerbangan (IPP) di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 9 pagi disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Hasbullah Nawawi; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral (Lt Jen) Datuk Seri Abdul Mutalib Ab Wahab; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Dato’ Pahlawan Dr Md Amin Muslan.

Dalam lawatan baginda ke IPP, Sultan Nazrin yang juga Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja berkenan untuk melawat dan menyaksikan demontrasi Latihan Kerusi Anjal (Ejection Seat Trainer) dan High Performance Human Centrifuge (ATFS 400).

Di samping itu, baginda turut berkenan untuk melawat kemudahan Dewan Hiperbarik (Altitude Hypobaric Chamber). Kemudahan ini digunakan untuk mensimulasikan keadaan berada di altitud yang tinggi dengan menghasilkan tekanan atmosfera yang kurang daripada paras laut.

Mengakhiri lawatan, Sultan Nazrin berangkat ke Bangunan Pergerakan Udara bagi menghadiri taklimat dan menyaksikan demonstrasi pesawat pengangkut A400M dalam konfigurasi Aeromedical Evacuation. Konfigurasi sebegini digunakan semasa melaksanakan operasi penerbangan perubatan yang membawa pesakit yang memerlukan rawatan.

Institut Perubatan Penerbangan berperanan dalam menyediakan pelbagai bentuk latihan aerofisiologi dan kaji selidik terhadap juruterbang dan anak-anak kapal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Selain daripada itu, IPP turut memainkan peranan dalam aspek pemeriksaan kesihatan, perlesenan serta memberikan latihan aerofisiologi kepada anak-anak kapal TUDM serta pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Institut ini mula ditubuhkan pada 11 Ogos 1976 di Pangkalan Udara Kuala Lumpur dan dipindahkan ke Pangkalan Udara Subang pada tahun 2018.

Related Articles

Leave a Reply