Home SemasaGlobal Jerman, Perancis sekat matawang kripto Facebook

Jerman, Perancis sekat matawang kripto Facebook

by M.Daim

HELSINKI, 14 Sept – Jerman dan Perancis bersepakat menolak rancangan pengenalan Libra, matawang kripto (cryptocurrency) oleh Facebook kerana akan mengugat kestabilan ekonomi Kesatuan Eropah (EU).

Dalam kenyataan bersama Menteri Kewangan Perancis, Bruno le Maire dengan rakan sejawatannya, Olaf Scholz, pengenalan matawang kripto tersebut secara tidak langsung akan menyebabkan gangguan dalam sistem kawalan matawang.

Selain daripada itu, matawang kripto turut memberi risiko tersendiri kepada pengguna.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh kedua-dua pihak berikutan Facebook merancang untuk memperkenalkan kemudahan matawang kripto bagi memudahkan pengguna untuk melakukan pembayaran di platform laman sosial berkenaan.

Pengenalan Libra oleh Facebook menjadi antara fokus utama mesyuarat antara menteri kewangan zon Eropah di Helsinki.

“Jerman dan Perancis mendapati Libra gagal untuk menangani beberapa isu mustahak sebelum dilancarkan,” jelas kenyataan bersama tersebut.

Terdahulu, Ketua Pengarah Libra Association, Bertrand Perez, menyatakan matawang kripto tersebut akan mula digunakan pada pertengahan tahun 2020. Beliau menyatakan perkara tersebut ketika menghadiri wawancara khas bersama akhbar kewangan Perancis, LesEchos pada 12 September lalu.

Rancangan tersebut turut mendapat kritikan dari beberapa institusi kewangan utama Eropah-Amerika Syarikat.

Gabenor Bank Pusat England, Mark Carney menyatakan pihak Facebook perlu menangani beberapa risiko utama seperti kawalan privasi data pengguna, isu gubahan wang haram dan pembiayaan pengganas melalui penggunaan matawang kripto

“Isu tersebut perlu ditangani sebelum Facebook melancarkan penggunaan matawang Libra,” kata Carney.

Selain daripada itu, Setiausaha Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (US Treasury), Steven Mnuchin, menegaskan pihak Facebook perlu mempunyai standard pengurusan sistem kewangan yang lebih tinggi.

“Facebook perlu meyakinkan pihak US Treasury bahawa mereka mempunyai standard yang tinggi sebelum mendapat akses pasaran kewangan di Amerika Syarikat,” jelas Steven.

 

Related Articles

Leave a Reply