KOTA KINABALU, 8 Ogos – Kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 24 Ogos depan.
Omar berkata perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
“Orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik dan pelancong asing melawat pulau peranginan.
“Perintah berkurung juga untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di kawasan daratan ESSZONE,” tegas Omar.
Tambah Omar perintah berkurung memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.
“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE untuk mengeluarkan permit kepada pemohon memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.