Home Semasa Tindakan conteng mural arwah Muhammad Adib tidak waras

Tindakan conteng mural arwah Muhammad Adib tidak waras

by Bernama

KUCHING, 1 Jul – Tindakan vandalisme menconteng mural potret arwah anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim di Shah Alam yang viral baru-baru ini adalah tindakan tidak waras.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, sebagai rakyat sebuah negara membangun, tindakan kita sepatutnya selalu rasional.

“Jika tidak berpuas hati dengan pihak tertentu, ia (menconteng mural) bukanlah cara atau tindakan yang betul untuk meluahkan perasaan.

“Jika masih berkelakuan perkara sedemikian, anda seolah-olah tidak mempunyai arah tujuan.

“Bertindaklah seiring dengan status negara maju,” katanya kepada pemberita pada majlis Ramah Tamah dan Ngiling Bidai di Ibu Pejabat JBPM negeri Sarawak di sini, semalam.

Media tempatan melaporkan, kejadian vandalisme itu mula ditularkan di media sosial sejak Jumaat lepas dan difahamkan mural itu dilukis bagi memperingati jasa dan pengorbanan Muhammad Adib yang maut dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada hujung tahun lalu.

Muhammad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera dalam rusuhan di tapak kuil tersebut pada 27 November lalu dan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember.

Sehingga kini, prosiding Inkues kematian Muhammad Adib masih berlangsung dan berada di fasa akhir dalam usaha mencari punca kematian beliau – Bernama

Related Articles

Leave a Reply