Home Pertahanan dan Keselamatan Syarikat swasta disaran bantu veteran tentera dan keluarga – Menteri Besar Selangor

Syarikat swasta disaran bantu veteran tentera dan keluarga – Menteri Besar Selangor

by Nurulhuda

SUNGAI BULOH, 27 Jun – Kerajaan negeri menyeru syarikat swasta yang beroperasi di Selangor untuk memberi perhatian khusus dengan menawarkan pekerjaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif dan usaha kerajaan pusat melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dalam memartabatkan hal ehwal pembangunan modal insan serta sosioekonomi bakal pesara dan veteran tentera.

“PERHEBAT amat relevan bersandarkan kepada pencapaian yang dicacatkan setakat ini. Pada tahun lepas, 67.8 peratus pelatih PERHEBAT mendapat pekerjaan dan menjadi usahawan selepas 6 bulan tamat latihan. Ia bersamaan dengan 1,014 orang daripada jumlah keseluruhan 1,500 pelatih,

“Hari ini saya mengumumkan bahawa kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan PERHEBAT dengan menawarkan program-program latihan dan penempatan pekerjaan khusus untuk veteran tentera dan keluarga di negeri ini,” katanya selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen PERHEBAT ke-54 di Dewan Besar, Kompleks PERHEBAT, Kem Sungai Buloh hari ini.

Beliau turut meluahkan keyakinan terhadap veteran ATM generasi baharu yang memiliki pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai bidang samaada dari sektor pembuatan makanan sehingga ke aeroangkasa.

Dalam majlis berkenaan sebanyak 560 pesara tentera ATM berjaya memperoleh Diploma Kemahiran Malaysia selepas mengikuti Latihan Peralihan PERHEBAT dalam tujuh bidang utama seperti Kejuruteraan Automotif, Binaan dan Kejuruteraan, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Media dan ICT, Pelancongan dan Perhotelan, Penyediaan Makanan dan Sajian serta Pengajian Pengurusan.

Turut hadir Pengerusi PERHEBAT, Leftenan Jeneral (B) Datuk Sri Abdul Aziz Ibrahim; Panglima Angkatan Bersama mewakili Panglima Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki dan Presiden Persatuan Veteran ATM, Kapten Datuk Sharuddin Omar.

Related Articles

Leave a Reply