Home SemasaGlobal Amerika Syarikat lancar serangan siber terhadap Iran

Amerika Syarikat lancar serangan siber terhadap Iran

by M.Daim

WASHINGTON, 22 Jun – Amerika Syarikat telah melancarkan serangan siber terhadap Iran sebagai tindak balas kepada beberapa insiden yang berlarutan di Teluk Oman baru-baru ini.

Serangan yang dilancarkan pada Khamis lalu menyasarkan kumpulan pengintip yang mempunyai kaitan dengan pasukan Tentera Republik Iran, lapor Yahoo News.

Menurut laporan tersebut, kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Iran tersebut memiliki akses untuk mengesan serta menjejak kapal-kapal sasaran yang berlayar di Selat Hormuz secara digital.

“Kumpulan tersebut mempunyai keupayaan untuk menjejak kapal-kapal sasaran yang terdiri daripada kapal awam dan tentera,” lapor Yahoo! News.

Namun begitu, laporan tersebut tidak menyatakan secara jelas akan bentuk serangan yang telah dilancarkan oleh U.S Cyber Command (USCYBERCOM).

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan telah meluluskan operasi serangan terhadap Iran sebelum menarik balik arahan tersebut. Arahan serangan dikeluarkan tidak lama selepas Iran menembak jatuh sebuah dron tentera yang dikendalikan oleh Amerika.

Trump mendedahkan tindakan beliau untuk menarik balik arahan tersebut pada saat-saat akhir sebelum serangan bermula di akaun twitter rasmi kendaliannya.

Walaupun begitu, Trump telah memberi hak mutlak kepada USCYBERCOM untuk melakukan serangan kepada pihak musuh Amerika Syarikat.

Mula beroperasi semenjak November 2008, USCYBERCOM merupakan cabang ketenteraan Amerika Syarikat yang bertanggungjawab untuk melancarkan sebarang operasi ketenteraan di alam maya.

Related Articles

Leave a Reply