Home Semasa Lapangan terbang Tekah: Jangan jual, simpan sebagai warisan

Lapangan terbang Tekah: Jangan jual, simpan sebagai warisan

by Air Times News Network

TAIPING, 14 Jun – Gabungan Persatuan Pelindung Warisan Taiping (GPWT) membantah terhadap jualan sebahagian tanah kawasan lapangan terbang Tekah oleh kerajaan negeri kepada sebuah syarikat pemaju perumahan swasta.

Pengerusinya Abu Bakar Mohd Ali berkata enam gabungan melibatkan enam organisasi bukan kerajaan (NGO) Taiping terdiri daripada Kelab Cintai Taiping, Taiping Heritage Society, Taiping Tourism Association, Warisan Anak-anak Kampung Pinang, Persatuan Penduduk Taman Saujana dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Perak (PEKA) telah bersetuju membuat bantahan atas jualan tanah tersebut dan mahu melihat kawasan tanah itu dikembalikan seperti asal.

Menurutnya, GPWT telah menerima maklumat daripada sumber boleh dipercayai menyatakan tanah lapangan terbang ini seluas 40 ekar sudah dipindahkan hak milik kepada sebuah syarikat pemaju swasta bulan lalu.

“Maklumat itu disahkan oleh Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) dan wakil syarikat pemaju swasta yang hadir untuk membuat kerja penandaan pada tanah itu.

“Kami difahamkan tanah itu belum boleh dimajukan kerana status tanah Lapangan Terbang Tekah diwartakan untuk tujuan pengangkutan dan belum ditukar status untuk pembangunan,” katanya.

Abu Bakar mewakili enam gabungan NGO mengadakan perhimpunan membantah penjualan tanah Lapangan Terbang Tekah

Pihaknya mahu memastikan tapak lapangan terbang ini terus dikekalkan kerana merupakan salah satu warisan sejarah yang berada di Taiping.

Abu Bakar berkata GPWT akan menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya mengembalikan semula status tanah lapangan terbang pertama di Semenanjung Malaysia sejak tahun 1929.

Lapangan terbang ini masih relevan kepada penduduk tempatan. Manakala pihak tentera, polis, bomba masih boleh menggunakan untuk latihan-latihan penerjunan dan penghantaran logistik.

Ia juga masih boleh digunakan lagi untuk tempat riadah, rekreasi dan aktviti-aktiviti seperti payung terjun.

“Pada masa hadapan pula, jika berlakunya kecemasan dan darurat kenderaan yang paling pantas adalah helikopter untuk menurunkan bekalan makanan dan perubatan di kawasan itu,” ujarnya.

 

Related Articles

Leave a Reply