Home Pertahanan dan Keselamatan 53 agensi sumbang RM1.452 juta kepada ATM sempena Aidilfitri 2019

53 agensi sumbang RM1.452 juta kepada ATM sempena Aidilfitri 2019

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima sumbangan bernilai RM 1,452,900.00 daripada 53 agensi penyumbang yang terdiri badan-badan koparat, badan-badan berkanun, syarikat-syarikat swasta dan persatuan-persatuan sukarela untuk disampaikan kepada warga ATM yang bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata daripada jumlah tersebut, 39 agensi telah menyumbangkan sumbangan berbentuk kewangan, manakala 14 lagi penyumbang telah menyumbangkan sumbangan dalam bentuk barangan.

Selain itu, ATM turut menerima sumbangan wang zakat yang disalurkan kepada Tabung Zakat ATM daripada Affin Islamic Bank Berhad, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad, dan Affin Hwang Investmen Bank Berhad.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Para penyumbang kepada ATM hari ini di Wisma Pertahanan.

Mohamad turut menegaskan keperihatinan dan keikhlasan sumbangan yang dihulurkan oleh penyumbang-penyumbang membuktikan bahawa masyarakat Malaysia tidak pernah melupakan setiap jasa dan pengorbanan warga ATM dan pasukan keselamatan yang sentiasa berjuang demi keamanan negara.

“Terdapat syarikat-syarikat yang kaya raya masih tidak berhubung secara langsung dengan Kementerian Pertahanan masih kurang menyumbangkan sumbangan ke Tabung Angkatan Tentera.

“Keamanan adalah amatlah penting untuk mereka yang berniaga, tanpa keamanan perniagaan corak apa pun tidak akan dapat dilaksanakan.

“Oleh itu, mereka yang memelihara keamanan mesti dipandang tinggi oleh sekalian rakyat terutama mereka yang berjaya dalam perniagaan,” tegas beliau.

“Selain daripada penglibatan Badan Kebajikan Amal Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM, ianya turut melibatkan anggota masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain iaitu Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH) Malaysia yang turut sama-sama mengambil bahagian dalam menyediakan bungkusan Hari Raya Aidilfitri untuk warga ATM yang akan bertugas pada hari raya nanti,” kata Mohamad.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang Di-pertua Pertubuhan KASIH Malaysia, Tun Dr. Siti Hasmah Ali.

Sekali lagi ,pada tahun ini ATM menyediakan sebanyak 15 ribu Beg Hari Raya yang akan diagihkan kepada warga ATM termasuk yang bertugas di Sabah, Sarawak dan diluar negara.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan serta Isteri, Datuk Seri Mohamad Zuki Ali; Panglima Tentera Darat dan isteri, Jen Dato’ Seri Ahmad Hasbullah Mohamad Nawawi; Panglima Tentera Laut dan isteri, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sani; Panglima Tentera Udara dan isteri, Jen Tan Sri Affendi Buang serta hampir 500 orang warga ATM.

 

 

Related Articles

Leave a Reply